Ahad, 25 Ogos 2013

Campur tangan politik punca polis gagal selesaikan banyak kes profail tinggi


n-surendran copy

SHAH ALAM : Naib Presiden, N Surendran kesal berikutan polis sejak dulu gagal menyelesaikan banyak kes profail tinggi termasuk kes pembunuhan Altantuya Shariibuu akibat campur tangan politik.

Beliau percaya kegagalan polis menyelesaikan kes sedemikian disebabkan pihak berkuasa itu tidak memberi perhatian khusus untuk mempertingkat kecekapan dalam aspek penyiasatan dan pendakwaan.

Sebaliknya, beliau berkata, polis diperalat kerajaan Persekutuan sebagai alat politik untuk mmebuat risikan terhadap aktiviti parti pembangkang dan aktivis sosial.

“Kerajaan perlu berhenti segera daripada menggunakan cawangan khas (SB) untuk merisik aktiviti pembangkang dan gunakan perisikan untuk tangkap penjenayah,” katanya kepada TV Selangor.

Beberapa kes berprofail tinggi seperti pembunuhan Altantuya, Norita Shamsuddin dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim menyaksikan siasatan tidak selesai untuk tempoh panjang.

Ia berikutan tiada individu didakwa sebagai pelaku atau dibebas begitu sahaja ataupun motif kejadian tidak diketahui.

Terbaru, Mohd Akhtar Shaharuddin, anak kepada Shaharuddin menyatakan pembunuhan bapanya ada kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi tetapi tiada perkembangan lanjut.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula lebih mementingkan usaha mengembalikan Ordinan Darurat tetapi mengabai penyelesaian kes jenayah.

Surendran berkata, campur tangan politik menyebabkan polis hilang amalan profesional dan ‘tiada kemahuan yang kuat’ untuk mencari kebenaran dalam sesuatu kes.

“Jangan ada campur tangan politik dalam urusan dan siasatan polis khususnya dalam kes berprofil tinggi agar mereka dapat menjalankan tugas dengan profesional,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu, berkata Kementerian Dalam Negeri pula lebih mementingkan usaha mengembalikan Ordinan Darurat tetapi mengabai penyelesaian kes jenayah.

“Ini menyebabkan kegagalan dalam pendakwaan kes berprofil tinggi kerana Datuk Seri Zahid Hamidi lebih mementing Ordinan Darurat,” katanya merujuk menteri yang menerajui KDN itu.

Selain itu, Surendran juga mencadangkan skema gaji polis disemak supaya mereka yang benar-benar berkebolehan berminat menyertai polis.- FZL

Tiada ulasan: