Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah malam itu, mangsa berusia 25 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha 125 seorang diri sebelum motosikalnya dihalang sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

Sumber berkata, selepas perjalanan mangsa dihalang, empat lelaki bertopeng turun dari kereta lalu menyerang mangsa dan ada di antara suspek membawa senjata tajam.

“Semasa pergelutan berkenaan, salah seorang suspek menikam bahagian belakang badan mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai kerambit. Namun, mangsa bernasib baik apabila terdapat sebuah kereta dinaiki orang awam memperlahankan kenderaan di lokasi kejadian.

“Kesemua suspek yang gusar dengan keadaan itu bertindak melarikan diri sebelum kumpulan penduduk kampung datang selepas orang awam yang melalui lokasi berkenaan memaklumkan kepada penduduk yang sememangnya sedang berkumpul di satu lokasi,” katanya.

Sumber berkata, suspek yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Tampin dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang.

Katanya, pihak polis kini sedang giat mengesan empat suspek berkenaan dan berharap individu yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.