Mohammad Faizal Che Yusof, |
CADANGAN perbicaraan semula adalah antara riaksi sepontan yang banyak diberikan bila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Chief Inspector Azilah Hadri dan Corporal Sirul Azhar Umar. Saya sedikit berbeza dengan pandangan popular yang dilontarkan. Sekadar mengarahkan kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dibicarakan semula, ia hanya menjadikan kita terus tertanya-tanya pelbagai persoalan yang tidak mungkin terjawab.
Datuk Seri Nazri Aziz dan Tan Sri Musa Hassan dalam riaksi segera kepada soalan wartawan sebaik Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Azilah dan Sirul, cukup menggambarkan situasi pasca keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak mudah untuk dicatur.
Pasca keputusan Mahkamah Rayuan tersebut boleh mengundang pelbagai macam persepsi yang jika tidak ditangani akan meletakkan institusi keadilan dalam Negara terus dipertikaikan kewibawaannya.
Seorang hakim ternama England, Lord Deninning pernah menyebut antara peranan institusi kehakiman termasuklah menjelaskan sebarang persoalan undang-undang selain dari apa yang tertera di dalam akta atau enakmen. Ia bukan suatu yang mudah. Selain wibawa mahkamah itu sendiri, setiap pihak termasuklah pendakwaan yang diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara turut memikul tanggungjawab yang sama.
Di sinilah seluruh rakyat perlu sedar, mahkamah hanyalah institusi yang memutuskan sebarang pertikaian yang dikemukakan. Baik yang dihadapkan, baiklah keputusan yang dihasilkan. Lemahnya keterangan dan bukti yang diberikan, tidak mungkin suatu yang memuaskan akan diputuskan.
Dari apa yang diputuskan sebulat suara oleh tiga anggota panel hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, ia cukup menampilkan kealpaan dan kelemahan sepanjang perbicaraan di peringkat Mahkamah Tinggi. Tuntutan tahap pembuktian dalam kes jenayah iaitu sabitan tanpa keraguan munasabah cukup menggambarkan betapa pihak pendakwaan mesti menyediakan kertas pendakwaan yang cukup menyeluruh dengan bukti dan keterangan yang cukup berwibawa.
Keperluan tersebut telah gagal diberi penilaian yang sempurna sepanjang perbicaraan peringkat Mahkamah Tinggi. Antaranya termasuklah isu alibi Azilah Hadri, isu mengenai eksibit dan data-data keterangan, isu penemuan tempat jenayah dan barangan kemas si mati, serta isu kaitan antara selipar dengan kesan darah Altantuya yang ditemui dalam jip Sirul Azhar. Selain itu, tiadanya keterangan DSP Musa Safri yang ketika itu pengawal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus mendedahkan kelemahan pendakwaan yang dilihat tidak mampu membantu mahkamah perbicaraan mencapai keputusan yang memuaskan.
Satu hal yang perlu kita sedar ialah perbicaraan semula adalah kuasa umum yang diberikan kepada mahkamah peringkat rayuan. Ia boleh berlaku bilamana dalam Kes tersebut termasuklah semasa peringkat perbicaraan, terdapatnya suatu kepincangan yang ketara yang boleh disifatkan sebagai suatu keadaan yang cukup terkecuali. Saya berpandangan situasi tersebut tidak nyata dalam kes pembunuhan warga Mongolia ini. Sekadar dikaitkan dengan pimpinan politik tertentu, ia tidaklah memadai.
Apatah lagi dalam kes Azilah, Sirul dan Razak Baginda, perbicaraan semula hanya akan berakhir dengan pembebasan ketiga-tiga mereka. Saya berpandangan sedemikian kerana apa yang mampu dilakukan oleh pendakwaan hanyalah menyusun semula keterangan dan bukti yang ada dan akhirnya mendedahkan bahawa Azilah, Sirul dan Razak Baginda tidak boleh disabitkan sebagai pembunuh sebenar Altantuya.
Justeru apakah tindakan wajar selanjutnya? Dalam kes pembunuhan Altantuya ini, berdasarkan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan jumaat lalu, kertas siasatan mesti dibuka dan siasatan yang lebih meluas perlu dilakukan.
Di samping menilai setiap kelemahan, apa yang disebut sebagai (private fiat) boleh dijadikan amalan pada masa hadapan. Peruntukan seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah iaitu melantik seorang peguam berpengalaman dan berwibawa untuk terlibat langsung dalam pendakwaan boleh dilakukan.
Persepsi rakyat bahawa institusi keadilan termasuklah Jabatan Peguam Negara dan mahkamah yang dikatakan tunduk kepada pimpinan politik tidak wajar dibiarkan berterusan dan ianya mesti dikikis. Tentunya ia perlu dilakukan bukan sekadar dengan pengumuman itu dan ini, melainkan diiringi dengan suatu tindakan yang mampu mengembalikan kepercayaan umum kepada system pentadbiran keadilan Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan