Anggota majlis tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam menuding jari kepada Pakatan Rakyat yang dianggapnya sebagai pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kes bunuh membabitkan senjata api semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, bekas ketua menteri Melaka itu mendakwa, golongan penjenayah berkenaan bermaharajalela kerana kerajaan memenuhi tuntutan Pakatan agar Ordinan Darurat (EO) dan ISA dimansuhkan.

“Kejadian tembak mati yang makin kerap berlaku sekarang adalah berikutan langkah kerajaan memansuhkan ISA dan EO seperti yang dituntut oleh pembangkang.

“Dalam hal ini, pembangkang perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Mengulas isu sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata sebahagian besar dari kes kejadian tembakan yang berlaku sejak akhir-akhir ini dilakukan oleh individu yang dilepaskan dari tahanan EO.

Kenyataan Ahmad Zahid yang dipetik dalam laporan Berita Harian hari ini menyebut, perangkaan kementerian itu malah menunjukkan bahawa 90 peratus daripada jenayah berat yang berlaku sekarang dilakukan oleh bekas banduan ini.

Golongan ini kembali aktif dan turut bertindak ke atas seteru dan membalas dendam terhadap saksi yang menyebabkan mereka ditahan di bawah EO, katanya.

Oleh yang demikian, kerajaan akan mengemukakan cadangan kepada satu jawatankuasa kecil kabinet bagi menangani kelemahan polis bagi menghadapi keadaan tersebut – ekoran penghapusan EO dan Akta Kediaman Terhad.

Ia antara lainnya melibatkan cadangan untuk memberi lebih kuasa kepada polis untuk melakukan siasatan, tambahnya.

Bagi tujuan itu, pasukan polis akan memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jawatan pegawai penyiasat untuk memperkukuh jabatan siasatan jenayah, katanya lagi.

Turut bersetuju dengan data berkenaan ialah bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor yang berkata orang tidak lagi gerun untuk melakukan jenayah berat memandangkan kuasa polis semakin terhad dengan penghapusan EO.

“Kuasa polis terlalu terhad. Mereka (penjenayah) tidak lagi gerun, menyebabkan peningkatan kes jenayah berat semakin berleluasa,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Katanya lagi, EO perlu diakui sebagai undang-undang yang mempunyai elemen pencegahan dan berjasa dalam menjaga ketenteraman awam.