Untuk kebaikan atau merosakkan Umno atau hendak balas dendam? tanya Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang.
Menjelang perhimpunan agung Umno
PETALING JAYA: Umno Pulau Pinang mempersoalkan kewajaran supaya jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan dalam perhimpunan agung parti akhir tahun ini.
Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir bertanya, adakah individu yang mahu bertanding itu lebih baik dari Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun Tan Sri Muhyiddin Yassin?
“Bertanding untuk apa? Untuk kebaikan atau merosakkan Umno atau hendak balas dendam?” kata Ketua Umno Bukit Mertajam itu.
Menurut Musa, keterbukaan Umno yang membenarkan ahli boleh bertanding mana-mana jawatan termasuk Presiden tidak boleh disalahguna sehingga merosakkan parti.
Beliau menambah, jika pertandingan berlaku dalam jawatan utama, Umno boleh berpuak dan ini menyebabkan Umno menjadi lemah.
Umno pecah pada tahun 1987 setelah Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden.
Tengku Razaleigh kalah tipis menyebabkan beliau menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, mahkamah pula mengisytiharkan Umno tidak sah.
Umno akan mengadakan pemilihan jawatan pada akhir tahun setelah ditunda tahun lepas ekoran mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke 13.
Tiada kuota
Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, tidak ada kuota dikenakan untuk ahli yang bertanding jawatan Presiden serta jawatan-jawatan lain.
Pemimpin Umno bahagian Kota Baru, Che Mansor Adabi Che Hussein berkata, pertandingan mana-mana jawatan utama boleh terdedah kepada perpecahan parti.
“Bagi memperkuatkan solidariti kepada Najib dan Muhyiddin, sangat wajar kedua-dua jawatan tidak dipertandingkan,” katanya.
Bagaimanapun, Che Mansor berkata, sama ada Najib serta pemimpin lain dicabar atau tidak bergantung kepada bahagian-bahagian Umno.
Katanya, jika mesyuarat Umno bahagian mahukan jawatan Najib dan pemimpin lain dicabar, maka jawatan Presiden Umno akan dipertandingkan.
“Umno bahagian akan membuat resolusi dan keputusan sama ada jawatan Presiden dicabar atau tidak.
“Jika membuat keputusan setuju Najib dicabar, maka jawatan itu akan dipertandingkan,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan