Khamis, 13 Jun 2013

Soi Lek nasihat Donald Lim sedar diri

Chua Soi Lek
Chua Soi Lek
 
SHAH ALAM-  Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek memberi nasihat kepada Naib Presiden Parti, Datuk Seri Donald Lim supaya sedar diri dan tidak sewenang-wenangnya mengkritik orang lain dalam parti.

Menurutnya, sebelum Donald mahu mengkritik orang lain, beliau perlu mengkaji terlebih dahulu apa sumbangan yang telah dibuat kepada negara.

Beliau turut mendakwa, Donald hanya menghabiskan sebahagian masa di satu kawasan semata-mata.

“Saya juga mahu memberi peringatan kepadanya yang beliau boleh menyokong sesiapa saja sebagai presiden, tetapi tidak mempunyai hak untuk menghalang sesiapa saja daripada bertanding jawatan itu,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau lagi, pihaknya mencadangkan supaya dirinya dan Donald melakukan perdebatan secara tertutup jika Donald begitu berminat berhubung topik siapa sebenarnya yang layak memegang jawatan presiden.

Beliau turut menegaskan, sejak tidak memegang sebarang jawatan kerajaan, beliau telah berjumpa dan memberitahu semua menteri MCA serta timbalan menteri supaya tidak menerima sebarang jawatan kerajaan jika MCA kalah teruk dalam PRU13.

"Mereka juga sebulat suara menyokong idea yang saya beri itu,” katanya.

Tambahnya lagi, mungkin Donald terlupa yang beliau telah mengambil bahagian dalam meluluskan resolusi bagi menolak semua jawatan kerajaan.

“Jika ada keperluan, saya tidak akan teragak-agak untuk menunjukkan bukti dan menerbitkan semua minit mesyuarat berkaitan supaya beliau (Donald) ingat semula apa yang berlaku sepanjang mesyuarat parti,” tegas Soi Lek.

Tiada ulasan: