Khamis, 20 Jun 2013

Semua ahli Parlimen Pakatan angkat sumpah 24 Jun ini

Oleh Md Izwan

Semua Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat (PR) akan mengangkat sumpah semasa sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti sebagai menghormati prinsip demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu menegaskan pendirian supaya perlantikan  Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) mestilah seseorang yang tidak berat sebelah dan bukan menjadi jurucakap kepada parti pemerintah sahaja.

"Kami percaya kepada semangat demokrasi berparlimen, oleh sebab itu kami tidak memboikot.. semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah pada 24 Jun nanti.

"Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa kami tidak mahu seorang Speaker yang hanya menurut perintah dan tidak mahu jurucakap Umno berada memegang jawatan tersebut," kata Anwar dalam satu sidang media ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Selain itu, Anwar memberitahu salah satu faktor PR tidak memboikot angkat sumpah adalah kerana mereka berhasrat untuk mencalonkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker ke-13.

"Kami mahu mencadangkan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker, kami mahukan individu yang dilantik adalah seseorang yang mempunyai integriti dan bebas sepenuhnya," tambahnya lagi.

Sesi taklimat pertama ahli-ahli Parlimen pada 11 Jun menyaksikan kehadiran 111 anggota Parlimen yang dipilih pada Pilihan Raya 2013, dengan hanya seorang wakil pembangkang, ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang hadir, daripada 89 keseluruhan ahli Parlimen PR.

Er telah dikenakan tindakan oleh partinya DAP kerana ingkar terhadap notis supaya memboikot taklimat tersebut.

Majlis Pimpinan PR telah membuat keputusan memboikot taklimat itu pada mesyuarat lalu untuk menunjukkan bantahan terhadap pemerintah Barisan Nasional (BN) kerana enggan memenuhi tuntutan reformasi pilihan raya.

Sebaik sahaja pilihan raya 5 Mei berakhir, pemimpin pembangkang telah membuat beberapa siri pendedahan yang didakwa sebagai penipuan sebagai tekanan daripada pembangkang untuk Putrajaya melakukan reformasi pilihan raya, bermula dengan melengkapkan pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketiga-tiga parti PR juga mengesahkan untuk memfailkan 41 petisyen pilihan raya — tiga oleh DAP, 20 oleh PKR dan 18 oleh PAS — sebelum tarikh akhir 12 Jun.

Akan tetapi selain daripada petisyen di mahkamah, PR dan kumpulan masyarakat sivil lain telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran selepas 5 Mei untuk mendesak agenda reformasi, meletakkan tiga syarat utama dengan pertama mensyaratkan peletakkan jawatan semua anggota SPR kerana kegagalan untuk memastikan Pilihan Raya 2013 bebas dan adil.

Perhimpunan “Black 505” seperti yang digelar, juga dikhaskan sebagai gerakan untuk membantah kecurangan seperti didakwa PR semasa pilihan raya, menyaksikan BN terus berkuasa walaupun kehilangan undi popular.

Pada 22 Jun, PR akan berhimpun di Padang Merbok untuk meneruskan bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya 2013. - 19 Jun, 2013.

Tiada ulasan: