Khamis, 6 Jun 2013

Seminar Institusi Raja lulus 7 resolusi

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Seminar Institusi Raja (SIRaj) meluluskan tujuh resolusi, yang antara lain mahukan segala isu berkaitan usaha atau niat ingin melemah atau merosakkan institusi raja ditangani.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Profesor Datuk Dr Kamarudin Hussin, ketika membentang resolusi itu, berkata strategi menangani isu berkenaan perlu disertai semua rakyat Malaysia yang mampu menyumbang dalam pelbagai aspek.
Resolusi lain, katanya, adalah memperkasa institusi raja, mempertingkat kefahaman berhubung sebarang perkara berkaitan institusi berkenaan, khususnya melibatkan Perlembagaan, adat-istiadat dan adab raja-raja Melayu.
Selain itu, beliau berkata semua pihak harus terlibat dalam membantu menggerakkan usaha mewujud serta memperkukuh pangkalan data berkaitan institusi raja selain menubuhkan badan pemantau terdiri daripada badan bukan kerajaan khusus bagi menjaga kedaulatan bangsa, bahasa dan agama.

Resolusi itu turut mencadangkan agar kajian berkaitan institusi raja diperluas dengan penyertaan pelbagai universiti dan pihak lain supaya Pusat Kajian Institut Raja Malaysia (PKIRM) di bawah Unimap dapat diperkukuh untuk menjadi benteng anasir yang ingin meruntuhkan kedaulatan institusi berkenaan.

Upacara penutup SIRaj 2013 disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sementara itu, Kamarudin berkata PKIRM akan cuba mengambil tanggungjawab memperkasa institusi raja mulai sekarang.

Bagi memantapkan pusat kajian itu, beliau berkata empat tokoh dilantik.
Felo dan Adjung PKIRM iaitu bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, penganalisis politik Profesor Datuk Dr Zainal Kling, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Penubuhan PKIRM, antara lain, bertujuan menjadi rujukan berkaitan institusi raja kepada pelbagai pihak dan bakal pusat dokumentasi atau bank data bagi institusi berkenaan yang wujud sejak kurun ke-11.

SIRaj anjuran Unimap, yang berakhir hari ini, menyaksikan kira-kira 20 kertas kerja dibentang pakar selaras dengan tema 'Melestarikan Pemerintahan Beraja'.- Bernama

Tiada ulasan: