Khamis, 27 Jun 2013

Selesaikan isu SPR sebelum cadang perdamaian

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: PAS bersedia duduk bersama dalam pendamaian nasional jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan terlebih dahulu isu yang mambabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta penyelewengan yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika dihubungi Harakahdaily menegaskan, PAS tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara asas yang melibatkan isu-isu keadilan, keselamatan, perundangan termasuk isu integriti SPR.

Menurutnya segala isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh mengikut apa yang dituntut oleh Pakatan Rakyat terutamanya melibatkan penipuan di dalam PRU13 pada 5 Mei lalu.

"PAS sedia duduk semeja dalam pendamaian nasional sepertimana yang dicadangkan oleh Najib tetapi syarat utama Perdana Menteri perlu menyelesaikan secara menyeluruh apa yang dituntut oleh kita terutamanya penipuan dalam PRU13 serta memulihkan SPR sepenuhnya.

"Perkara-perkara asas ini perlu diselesaikan oleh Najib sepenuhnya barulah beliau boleh mengemukakan cadangan tersebut dan kita dari Pakatan Rakyat khususnya PAS bersedia untuk duduk bersama," jelasnya.

Salahuddin turut menegaskan, Najib tidak perlu mengemukakan cadangan untuk pendamaian nasional jika perkara asas yang membabitkan keputusan PRU13 yang penuh dengan penyelewengan serta jelas bertentangan dengan perundangan tidak dapat beliau atasi.

"Selagi tonggak utama membabitkan SPR dan PRU13 tidak diselesaikan, Najib perlu melupakan pendamaian nasional.

"Kami menuntut ia diselesaikan, pulihkan SPR mana-mana anggota tertinggi di dalam SPR perlu letak jawatan dan lantikan hendaklah dilakukan mengikut satu kaedah yang khusus barulah usaha damai ini boleh dikemukakan," tegas beliau.

Tiada ulasan: