Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata, pertandingan dua jawatan tertinggi itu juga dapat menyemarakkan lagi demokrasi dalam Umno.
“Umno harus miliki semangat demokrasi dalaman. Tiada sebab untuk pertandingan dua jawatan ini tidak dilakukan.
“Lagipun, Umno kini berada dalam situasi stabil. PRU14 juga masih jauh, jadi Umno ada masa untuk melakukan transformasi seperti yang diuar-uarkan termasuk mempertandingkan dua jawatan itu,” katanya.
Menurutnya, pertandingan jawatan presiden juga dapat membuktikan kredibiliti Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penyandang yang mendapat sokongan kuat daripada ahli parti.
“Mungkin ramai ahli tidak setuju jawatan presiden dipertandingkan kerana tiada calon yang dilihat layak mencabar Najib. Namun, Najib sendiri sudah beri lampu hijau untuk dicabar.
“Menang atau kalah patut diletak tepi. Jika benar semua ahli memberi sokongan kepada Najib, beliau pasti menang jawatan itu,” katanya.
Sementara itu, geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, kedua-dua jawatan itu boleh dicabar memandangkan Umno telah memansuhkan sistem kuota pencalonan pada pemilihan parti.
“Selepas PRU13 dan penghapusan sistem kuota pencalonan, saranan agar kedua-dua jawatan tidak dipertandingkan adalah tidak wajar. Ini kerana Umno secara asasnya berada dalam kedudukan terkuat.
“Teladan perlu dipamerkan kepada parti politik lain sama ada BN atau PR bahawa Umno melaksanakan sistem demokrasi sebaik-baiknya,” katanya.
Najib sebelum ini mengumumkan beliau bersifat terbuka jika ada yang ingin bertanding jawatan presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi Umno, hujung tahun ini.
Bagaimanapun, ramai pemimpin dan veteran Umno menyokong cadangan agar jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan