Ahad, 2 Jun 2013

PKR Gesa Badan Bebas Ambil Alih SPR Isu Persempadanan Semula


Azmin HQ PKR 02

SHAH ALAM  : PKR menuntut agar kerajaan menubuhkan badan bebas di bawah kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat syor terhadap urusan persempadanan semula.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk memindahkan kawal selia SPR di bawah kuasa Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal PKR dalam menuntut reformasi pilihan raya.

“Cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak dan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif.

“Cadangan ini bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab,” kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Jelas Azmin, pengumuman tersebut membuktikan bahawa kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia.

“SPR dituntut untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik,” tegas Azmin.

Ujar beliau, sebagai langkah permulaan, PKR menuntut agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan segera demi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi.

Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR di mana suruhanjaya itu bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan Kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana parti politik.

“PKR bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk BERSIH menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Sungguhpun begitu adalah penting pengumuman Perdana Menteri bukanlah sekadar latihan perhubungan awam(public relations exercise) semata-mata,” kata beliau.

Tiada ulasan: