Jumaat, 21 Jun 2013

PKR gantung pegawai bekas Exco kerajaan Selangor


PETALING JAYA: Kemelut berkaitan isu perlantikan Exco Selangor dari PKR masih belum reda dan menjadi lebih meruncing apabila ibu pejabat PKR mengambil tindakan mengantung keahlian Abdul Razak Ismail, pembantu khas kepada bekas Exco kerajaan Selangor, merangkap Adun Seri Andalas , Dr Xavier Jayakumar.
Tindakan PKR yang dilihat lebih drastik ini ada kaitan dengan penggugguran Dr Xavier sebagai Exco Selangor  baru-baru ini.

Dalam notis bertarikh 14 Jun 2013, oleh Datuk Tan Kee Kwong , Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR (yang juga ahli Parlimen Wangsa Maju) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab dan seterusnya menggantung keahlian Razak serta merta  sementara menunggu laporan siasatan jawatankuasa disiplin tersebut.

Razak juga diberikan 10 hari untuk menjawab tuduhan  ‘bersikap biadap dan melemparkan kata-kata kesat melampau’ terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kejadian berlaku di mana lebih 80 orang ahli PKR berkumpul di hadapan kediaman Anwar  di Segambut pada malam 28 Mei 2013 yang lalu.

Dipercayai, kesemua ahli berkumpul di hadapan rumah Anwar kerana mereka mahu  Anwar campurtangan apabila mereka mendengar berita bahawa nama  Xavier  telah digugurkan.

Razak semasa dihubungi FMT mengatakan bahawa beliau terkejut dengan tindakan parti terhadap beliau.

Buang masa

Ujarnya lagi pucuk pimpinan  parti hanyalah  membuang masa membincangkan insiden tersebut yang dianggap “remeh temeh”  dalam mesyuarat Biro Politik ( sebuah badan pengubal dasar parti  yang  sangat berpengaruh dalam parti).

Tambah beliau, pucuk pimpinan seharusnya membincangkan agenda yang lebih besar berkaitan laporan terdapatnya ‘campurtangan tangan-tangan ghaib’  yang menyebabkan pengugguran Xavier tersebut.

Razak juga berkata tindakan parti yang dilihat berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang laporan kertas putih siasatan yang telus dan terbuka terhadap perkara ini telah mengecewakan banyak pihak.

Beliau juga berpendapat bahawa  parti dilihat ingin mengalih perhatian ahli  dari kaum India yang begitu kecewa dengan kegagalan parti untuk melantik seorang Exco ‘India’ dari PKR.

“Mereka (ahli India) berkata bahawa mereka lebih selesa dan efektif berurusan dari dengan seorang pemimpin India dari parti sendiri daripada berurusan dengan Ganabathipathi Rao, seorang pemimpin India dari  DAP yang dilantik sebagai Exco Selangor baru-baru ini,” kata Razak.

Beliau sudah jawab

Tegas Razak lagi beliau telahpun  menjawab notis tunjuk sebab tersebut beberapa hari yang lalu tetapi kesal kerana parti telah lebih awal “menghukum” beliau dengan menggantung keahliannya sedangkan beliau masih belum diminta hadir diri menjawab di hadapan panel  Jawatankuasa Disiplin tersebut.


Razak juga membidas  N Surendran dan R Sivarasa ( kedua-duanya duduk  di dalam Biro Politik) yang berdiam diri dan mengambil sikap membisu dalam isu pengguguran Xavier.

“Sekiranya ini lah sikap mereka tidak dapat mempertahankan nasib pemimpin “sebangsa” mereka yang dianiayai sedemikian rupa, bagaimana rasionalnya pula mereka mampu memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu, Cina , Bumiputra Sabah dan Sarawak?” tanya Razak.

“Ini merupakan “test case” betapa lemahnya “solidariti dan persepakatan” pemimpin-pemimpin India dalam pucuk pimpinan  PKR yang lebih selesa dengan pendekatan “ play safe” ( main selamat demi ‘survival’ politik masing-masing).”

Kata Razak lagi beliau menganggap “fail  Xavier” tersebut masih belum ditutup dan beliau akan terus memperkatakan serta membangkitkan isu tersebut di kalangan pimpinan akar umbi parti bagi mempastikan bahawa bekas majikan beliau mendapatkan layanan dan ‘keadilan’ sewajarmya dari parti.

Tiada ulasan: