GEORGETOWN - Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang diterajui Gerakan sebelum ini berhubung kebenaran pembinaan Menara Umno dibina sebelum pelan pembangunannya dikemukakan dan diluluskan.
Menurutnya, kerajaan tempatan ketika itu membenarkan bangunan itu dibangunkan seperti yang dimohon kontraktor di atas klasifikasi sebagai kerja khas iaitu pada 23 Disember 1995, sedangkan pelan bangunan yang pertama diserahkan selepas dua tahun iaitu pada 31 Julai 1997 manakala pelan yang diubahsuai pula dihantar pada 24 Julai 1998.
“Bagaimana kerajaan negeri ketika itu tunduk kepada Umno negeri dengan membenarkan kerja bermula walaupun pelan bangunan itu belum dikemuka?
Jika kita lihat dari sejarah terdahulu, pada 1 Oktober 1996, Timbalan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Shariff Omar telah melawat bangunan berkenaan seolah-olah 'merestui' ia dibangunkan walaupun pembinaan pelan bangunan masih belum diserahkan.
“Selepas itu, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pula mengeluarkan satu surat kepada Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan untuk bertanya kepadanya alasan mengapa berlaku kelewatan di dalam projek berkenaan.
"Dalam surat itu, Tsu Koon memaklumkan bahawa beliau perlu melaporkan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada media di tapak kejadian semalam.
Ketika dihubungi, Hock Nan berkata, kejadian itu berpunca daripada 'masalah teknikal yang berlaku semasa bencana alam' yang mana arkitek dan jurutera terlibat tidak dapat meramalkan bahawa penebat kilat itu akan jatuh dari bangunan berkenaan.
“Terdapat banyak bangunan lain dengan struktur yang sama seperti di Menara Umno namun, selagi arkitek bertanggungjawab bersedia untuk membayar denda jika mereka tidak mematuhi garis panduan, prosedur dan pelan bangunan, saya rasa itu tidak menimbulkan masalah. Kita mengadakan garis panduan dan prosedur yang ketat serta telus pada masa bangunan itu dibangunkan.
“Arkitek yang dilantik juga adalah dari sebuah syarikat antarabangsa terkenal dan pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa berikutan hasil kerja mereka setaraf dengan anugerah yang diberikan.
Apa yang Wei Aik cuba sampaikan dengan mengajukan soalan sebegini?” katanya.
Menurutnya, Wei Aik tidak sepatutnya menyalahkan mana-mana pihak berikutan apa yang lebih penting ialah memastikan kejadian itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
“Persoalan beliau dilihat seperti cuba untuk memberi gambaran bahawa kerajaan negeri sebelum ini membenarkan bangunan itu dibina dengan cepat seperti yang dimahukan Umno tanpa mengambil kira keselamatan orang awam.
“Kenyataan itu sangat tidak bertanggungjawab dan tidak wajar dikeluarkan. Tidak wajar untuk mewujudkan kebencian rakyat terhadap pentadbiran kerajaan sebelum ini terutama kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Shaik Hussein Mydin berkata, bangunan itu dibina pada 1998.
“Seingat saya, bangunan ini dibina pada 1998 iaitu ketika Anwar selaku orang pertama dalam Umno di negeri ini. Oleh itu, saya tidak boleh komen lebih berhubung status bangunan ini serta reka bentuknya.
“Jika sesiapa yang hendak tahu lebih berhubung perkara ini, sila bertanya kepada Anwar kerana saya percaya, beliau lebih tahu semuanya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan