Sabtu, 8 Jun 2013

Pemuda sokong jawatan tertinggi tidak dipertanding

Wartawan Sinar Harian

Pemuda sokong jawatan tertinggi tidak dipertanding
Khairy Jamaluddin
 
KUALA LUMPUR - Pemuda Umno menyokong jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan Umno hujung tahun ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perkara menjadi keutamaan sekarang adalah kukuhkan parti dan agenda transformasi.

Menurut beliau, Pemuda Umno hargai semangat pindaan Perlembagaan yang akan memperluas lagi bilangan perwakilan yang memilih jawatan tertinggi dalam parti.

"Kukuhkan Umno, akan menjadikan tunjang BN kuat dan membantu parti komponen yang menghadapi masalah. Umno perlu berada di hadapan dalam memacu hala tuju BN menjelang PRU14," katanya dalam sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Khairy berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah individu yang paling layak menjadi Presiden dan Timbalan Presiden parti.

"Justeru Pemuda Umno membuat ketetapan dan mengusulkan kedua - dua jawatan itu tidak dipertandingkan," katanya.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu Pemuda Umno turut menolak cadangan menjadikan BN parti tunggal yang mewakili masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, sistem parti komponen dalam BN mewakili kaum tertentu dilihat masih relevan dalam amalan politik di Malaysia.

"Masanya belum sesuai untuk BN dijadikan parti tunggal. Pemuda Umno mahu komponen dalam BN kekal sebagai parti yang mewakili bangsa masing-masing seperti sedia ada," katanya.

Tiada ulasan: