Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Menurutnya, sebagai parti demokrasi, beliau bersifat terbuka jika ada yang ingin bertanding jawatan presiden.
“Kita bukan macam parti lain. Kita terima jika ada yang mahu bertanding,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Selain itu, satu jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan untuk turun padang ke negeri-negeri bagi mendapatkan respons ahli parti sebelum pemilihan dibuat.
“Ia akan diketuai Tan Sri Tajol Rosli Mohamed Ghazali. Pasukan ini akan mendapatkan respons ahli mengenai perlembagaan baru parti yang akan digunakan penggal baru nanti.
“Perlembagaan baru parti sudah dibuat tiga tahun lalu dan akan dilaksanakan pada penggal baru ini.
“Selepas itu, barulah mesyuarat bahagian dibuat seterusnya perhimpunan agung. Semuanya akan dibuat dalam tahun ini dan akan bermula 15 Julai depan,” katanya.
Menurut beliau, pemilihan pucuk pimpinan akan dibuka tetapi tidak kepada sayap seperti Pemuda, Puteri dan Wanita.
“Untuk pucuk sahaja, sudah ada lebih 150,000 ahli, jika nak disekalikan dengan sayap, pasti sukar.
“Keputusan juga harus dibuat dalam masa sehari itu nanti. Cuma mekanisme pemilihan itu masih belum diputuskan sama ada menggunakan biometrik, angkat tangan atau lain-lain kaedah,” katanya.
Najib turut berharap Umno akan terus kekalkan momentum sekarang memandangkan parti itu sudah mendapat kepercayaan rakyat pada PRU13 lalu.
Najib berkata ini terbukti dengan kejayaan Umno menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 tahun 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini.
“Jika dibandingkan dengan pembangkang, mereka mempunyai 89 buah kerusi, bererti Umno sebagai parti tunggal boleh menyamai gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada tiga parti tersebut (DAP, PKR dan Pas),” katanya.
Najib berkata prestasi Umno juga diukur berdasarkan kejayaan merampas kembali Kedah dan Perak berserta bilangan undi yang diperolehi yang semakin bertambah.
“Mengikut kajian kita, lebih kurang 30 peratus peningkatan undi diberikan kepada Umno berbanding tahun 2008, katanya.
Justeru, Najib berkata Umno akan terus berjuang dengan memantapkan gerak kerjanya melalui beberapa penambahbaikan pentadbiran di peringkat ibu pejabat seperti dicadangkan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan.
Beliau berkata antara penambahbaikan tersebut ialah mewujudkan beberapa bidang pengkhususan sepenuh masa seperti penyelidikan dan latihan, media sosial dan bidang penerangan.
Beliau berkata penyusunan semula perlu bagi memastikan usaha, mesej dan segala keputusan daripada Majlis Tertinggi itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan