Isnin, 10 Jun 2013

PAS namakan pegawai perhubungan politik pejabat MB Selangor

THE MALAYSIAN INSIDER
 
KUALA LUMPUR – PAS menamakan bekas ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, pelantikan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan parti dalam mesyuarat PAS Pusat semalam dan Dzulkefly dipilih berdasarkan pengalaman beliau sebagai “orang lama” dalam kancah politik di Selangor.

 “Kita dah bermesyuarat sebentar tadi dah memutuskan untuk mencadangkan Dzulkefly (gambar) untuk memegang jawatan tersebut,” katanya dipetik dari portal Sinar Harian Online.

“Kita akan buat surat kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, esok (hari ini) berhubung perkara ini,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini DAP mencadangkan supaya Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok, memegang jawatan Pegawai Perhubungan Politik dengan status dan syarat lantikan yang serupa dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Terdahulu semasa kongres nasional ke 9 PKR, Abdul Khalid melantik Saifuddin sebagai Pegawai Perhubungan Politik bagi melancarkan hubungan politik antara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat (PR) di negeri terkaya negara itu.

Dalam ucapan semasa kongres nasional ke 9 PKR, Abdul Khalid mengakui kelemahan tidak bijak dalam berpolitik, justeru mengumumkan penubuhan satu “political liaison” atau pegawai perhubungan politik di pejabat menteri besar.

Walaupun Abdul Khalid dilantik sebagai menteri besar untuk penggal kedua, kontroversi tercetus apabila Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali difahamkan turut mahukan jawatan itu.

Menteri besar Selangor itu berkata penubuhan “political liaison” akan mengendalikan hal ehwal politik dalam negeri dan mereka yang dilantik akan terdiri daripada individu yang pakar dalam lapangan tersebut.

Dalam majlis sama, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penutupnya mengumumkan Saifuddin akan diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan “political liaison” yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat.

Berhubung dengan pengumuman Abdul Khalid itu, media melaporkan PAS juga mahukan pimpinan pusat mereka turut dilantik di jawatan sama kerana Selangor bukanlah negeri PKR semata-mata.

Dalam Pilihan Raya 2013, PR memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang diperoleh pada 2008.

PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula memenangi 12 kerusi.

Tiada ulasan: