Ahad, 2 Jun 2013

Parti Tunggal BN Mungkin Tidak Praktikal



Oleh A Kadir Jasin
 
SATU lagi kesan positif Pilihan Raya Umum 2013 adalah kesediaan Barisan Nasional memikirkan sesuatu yang tidak mungkin, iaitu mengubah dirinya menjadi parti tanpa komponen.
Baguslah kalau Umno akan menubuhkan makmal khas mengkaji ura-ura itu, tetapi secara peribadi, saya tidak menjangka yang parti-parti bangsa dan kaum dalam Barisan Nasional akan bersedia membubarkan diri dan bergabung menjadi sebuah parti tunggal.

Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, mungkin boleh “memujuk” kepemimpinan Umno untuk melayan (entertain) idea ini, tetapi saya tidak menjangka akar umbi Umno akan menerimanya. Umno adalah parti akar umbi!
Yang mungkin bersedia menimbang idea parti tunggal BN adalah parti-parti komponen majoriti Cina yang nazak seperti Gerakan, MCA dan SUPP.
Idea parti tunggal BN ini nampaknya dipengaruhi oleh cadangan Pemangku Presiden Gerakan, Chang Ko Youn, agar BN mengamalkan sistem keahlian terus (direct membership) yang pernah diamalkan oleh Perikatan sebelum diperbesarkan menjadi BN pada tahun 1973.
Saya tidaklah mahu membuat andaian yang Mohd Najib sekali lagi tunduk kepada kehendak orang Cina apatah lagi selepas beliau sendiri menyalahkan tsunami Cina sebagai punca ketidakcemerlangan prestasi beliau dalam PRU 5 Mei lalu.
Umno Tambah Kuat, Kata Najib
Lagipun, seandainya Umno lebih kuat selepas PRU13 seperti Mohd Najib dakwa ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi, mengapa harus ia dibubarkan dan bergabung dengan parti lain menjadi sebuah parti tunggal?
Mengapa harus Umno dan parti-parti Bumiputera yang kukuh di Sarawak dan Sabah dibubarkan dan digabungkan menjadi parti tunggal semata-mata bagi melayan idea parti-parti Cina BN yang ditolak oleh orang Cina sendiri dalam PRU lalu?
Kalau Umno dibubarkan bagi memberi laluan kepada penubuhan parti tunggal BN, kemungkinannya banyak ahli dan penyokongnya akan beralih kepada PAS kerana orang Melayu masih berasa mereka memerlukan parti Melayu-Islam.
Lagipun, masalah pokok BN bukan organisasi atau struktur, tetapi imej dan persepsi kepemimpinan BN yang negatif.
Ubah struktur parti tanpa mengubah kualiti dan integriti kepemimpinan tidak akan menjadikan BN lebih diyakini dan disokong oleh pengundi.
Meminjam dan mengalih ungkapan bahasa Inggeris, kepemimpinan Umno dan BN haruslah “membezakan yang mana satu pokok dan yang mana satu hutan belantara”. Wallahualam.http://kadirjasin.blogspot.com

Tiada ulasan: