Masih belum ada seragam sekolah
Kamaruddin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada Mat Nudin (dua, kanan), semalam
 
PASIR MAS – Pasangan suami isteri di Kampung Teliar tua, sedih kerana tidak dapat menyediakan keperluan persekolahan anak-anak, selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran, 20 Mei lalu.
Mat Nudin Adam, 58,berkata, dia terpaksa menggunakan sebahagian besar sumbangan orang ramai untuk membeli keperluan asas seperti makanan dan pakaian.

“Mujurlah minggu lepas cuti sekolah, maka kami tidak perlu tergesa-gesa mendapatkan keperluan persekolahan mereka.

“Dua anak saya yang masih belajar di tingkatan dua dan empat, mungkin terpaksa bercuti buat sementara waktu,” katanya.

Katanya, ada juga penduduk yang prihatin, menderma pakaian seragam sekolah lama untuk anak-anaknya.

Namun katanya, kelengkapan seperti buku latihan, buku teks dan alat tulis perlu disediakan memandangkan musim peperiksaan akan berlangsung tidak lama lagi.

Sementara itu, Timbalan Yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata, pihaknya menyalurkan bantuan untuk keperluan dua anak Mat Nudin.

Menurutnya, bantuan ini akan digunakan untuk mendapatkan keperluan asas persekolahan seperti seragam sekolah, seragam sukan, buku teks, buku latihan dan alat tulis.

 Di samping itu katanya, Maik turut menyampaikan sumbangan zakat bernilai RM 2,000 kepada mangsa, untuk keperluan harian mereka.

“Tengku Mahkota, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Sultan Ismail Petra bersimpati dengan Mat Nudin, kerana bukan sahaja kehilangan rumah, malah dia pernah terlibat dalam kemalangan, tujuh bulan yang lalu.

“Diharapkan, bantuan ini akan meringankan keperluan mereka, malah anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang lebih selesa,” katanya.