Ahad, 9 Jun 2013

Litar lumba bakal dibina untuk belia kedah

SINAR HARIAN

mukhriz

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sedang meneliti lokasi sesuai untuk membina sebuah litar lumba, bagi menunaikan aku janji Barisan Nasional (BN) Kedah pada pilihan raya umum lepas.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata buat masa ini pembinaan litar berkenaan dalam proses penelitian serta perbincangan dan beliau memberi jaminan ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata pihaknya sedang mengkaji pelbagai aspek termasuk pendidikan, komersil dan sosial demi kepentingan belia di negeri ini.

"Kita buat litar ini untuk memberi ruang kepada generasi belia menceburi sukan permotoran sekali gus dapat menghindarkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial.

"Kita minta rakyat jangan bimbang sebab tak timbul isu buat atau tak.

Cuma kita minta sikit masa untuk bincang mengenai lokasi yang sesuai dan bagaimana nak mulakan," katanya ketika menutup sambutan Hari Belia Kedah 2013 di perkarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata penswastaan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) merupakan pilihan terakhir kerajaan negeri bagi menyelesaikan bebanan hutang yang dihadapi kolej itu.

"Kita belum lagi nak buat keputusan ke arah itu (penswastaan) dan ia mungkin sebagai satu pilihan dan tak semestinya pilihan tersebut kita utamakan kerana saya tak mahu tekankan soal penswastaan kerana takut ia dilaporkan sebagai pilihan (utama) kita kerana semua pilihan kita pertimbangkan secara adil," katanya.

Mukhriz berkata pihaknya mempunyai banyak pilihan dan tidak mahu menumpukan kepada penswastaan Kuin semata-mata.

Beliau berkata selain itu timbul juga kekeliruan sama ada kolej itu terletak di bawah kerajaan negeri atau swasta memandangkan terdapat anak syarikatnya kini bergantung penuh kepada Kuin.

Katanya sekiranya anak syarikat Kuin iaitu Insaniah Holding adalah swasta, ia perlu mencari keuntungan dan tidak bergantung kepada Kuin semata-mata, misalnya untuk membayar gaji pekerja.

Sementara itu, Mukhriz berkata golongan belia akan diberi peluang mendapat tempat dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di 11 daerah sebagai anggota majlis bagi menyuarakan pendapat.

Katanya senarai nama telah diputuskan dan pelantikan belia sebagai anggota majlis dalam PBT akan dibuat secepat mungkin. - Bernama

Tiada ulasan: