Khamis, 6 Jun 2013

Lagi laporan polis terhadap individu hina Agong

THE MALAYSIAN INSIDER
 
NIBONG TEBAL — Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal dan lima badan bukan kerajaan hari ini membuat laporan polis terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melalui laman media sosial.

Wakil kumpulan yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail berkata perbuatan menghina institusi diraja secara terang-terangan itu adalah tidak bertanggungjawab.

"Tindakan tegas juga perlu diambil Kementerian Dalam Negeri bagi menyekat mereka daripada terus memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam di negara ini," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di sini.

Turut membuat laporan polis ialah empat pertubuhan Belia 4B iaitu dari Nibong Tebal, Seri Bukit, Seri Taman dan Bukit Panchor serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Changkat.

"Kami mengecam tindakan mereka yang secara biadab. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, institusi beraja harus dihormati oleh semua pihak," katanya. — Reuters

Tiada ulasan: