ULASAN Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia melahirkan kebimbangan bahawa sekali lagi, bagi tahun keempat berturut-turut, Malaysia diletakkan di kedudukan dedua, senarai pemerhatian (tier 2, watch list) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam laporan Antipemerdagangan Orang (ATIP) 2013 kerana kegagalan mematuhi sepenuhnya standard minimum untuk membanteras  pemerdagangan bawah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2000 (TVPA).

Pihak Jabatan Negara AS mengaitkan kedudukan Malaysia dengan kekurangan kemajuan signifikan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia dalam menangani pemerdagangan orang di Malaysia berbanding tahun sebelumnya.

Dalam laporan ATIP 2013 tersebut, Jabatan Negara AS memberikan penilaiannya terhadap rekod pemerdagangan orang di Malaysia termasuk usaha yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam tiga aspek utama iaitu, pendakwaan, perlindungan dan pencegahan yang sebahagian daripada isu-isu tersebut pernah diutarakan oleh suruhanjaya menerusi laporan tahunan, dan juga dialog serta perbincangan meja bulat bersama agensi-agensi Kerajaan dan pihak berkepentingan yang lain.

Berdasarkan hasil dapatan yang diperoleh melalui sesi dialog bersama pelbagai pihak berkepentingan dan lawatan ke rumah perlindungan mangsa pemerdagangan, pihak suruhanjaya telah menghasilkan syor berikut:

(1) Bahawa kerajaan mengukuhkan mekanisme berhubung dengan pendakwaan ke atas pesalah, perlindungan ke atas mangsa dan pencegahan insiden-insiden baru penyeludupan melalui kerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil dan misi diplomatik, serta pihak-pihak berkepentingan serantau dan antarabangsa;

(2) Bahawa NGO perlu disediakan satu saluran untuk menawarkan kepakaran mereka kepada Majlis bagi Antipemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO) kerana ramai mangsa lebih cenderung mendapatkan khidmat mereka untuk bantuan;

(3) Bahawa semua mangsa disediakan dengan pemeriksaan kesihatan serta-merta setibanya di pusat-pusat perlindungan, serta lawatan berkala oleh kakitangan perubatan;

(4) Bahawa mangsa dimaklumkan status kes mereka dan sebuah mahkamah khas diwujudkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes-kes berkaitan antipemerdagangan orang;

(5) Bahawa kerajaan menyediakan latihan yang ekstensif untuk meningkatkan kemahiran pegawai penguatkuasa undang-undang di seluruh negara, terutamanya di barisan hadapan, mengenai cara-cara untuk mengenal pasti mangsa yang disyaki terbabit dalam penyeludupan manusia;

(6) Bahawa kerajaan meminda Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (akta 670) dengan membenarkan mangsa untuk menerima pampasan dan untuk bekerja sementara menunggu penyelesaian kes-kes mereka; mewartakan rumah-rumah perlindungan yang dikendalikan oleh NGO, memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai kes-kes penyeludupan manusia dan penyeludupan migran iaitu Seksyen 12 dan 13 di bawah Akta ATIP; serta penjelasan mengenai peranan Suruhanjaya dan keanggotaannya dalam majlis;

(7) Bahawa kerajaan mengkaji semula Seksyen 2(1) Akta Kerja 1955 yang membenarkan "kontraktor bagi buruh' yang mungkin boleh mengakibatkan eksploitasi pekerja oleh pihak agensi pengambilan pekerja dan majikan; dan

(8) Bahawa kerajaan menyertai Konvensyen Antarabangsa Hak Asasi Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka serta Konvensyen Berkaitan dengan Status Pelarian.

Memandangkan Malaysia merupakan negara destinasi dan transit bagi kebanyakan pekerja migran, suruhanjaya menyeru agar kerajaan mempertingkatkan usahanya dalam memberi perlindungan yang lebih baik kepada mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan di semua peringkat, selari dengan standard antarabangsa yang  ditentukan oleh Protokol Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencegah, menyekat dan menghukum  pemerdagangan orang terutama yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.


TAN SRI HASMY AGAM pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).