Selasa, 18 Jun 2013

Kami mahu ‘demokrasi terpimpin’, jawatan tertinggi tidak perlu dipertandingkan, kata Ku Nan

Oleh Md Izwan



Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan dua jawatan penting Umno presiden dan timbalan presiden parti tidak perlu dipertandingkan dalam pemilihan parti yang bakal diadakan tahun ini kerana mereka mengamalkan "demokrasi terpimpin".

Kenyataan setiausaha agung Umno itu hadir selepas terdapat  gesaan pemimpin dalam parti yang mahukan dua jawatan tersebut dipertandingkan, walaupun majlis tertinggi telah memutuskan sebelum ini jawatan tersebut tidak perlu dipertandingkan.

"Bagi kami, kami mahukan demokrasi terpimpin.

"Oleh sebab itu kami kata jawatan presiden dan timbalan presiden tidak perlu dipertandingkan, lagipun kami baru habis pilihan raya," kata Tengku Adnan yang ditemui di pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

193 bahagian parti akan mengadakan mesyuarat untuk memilih kepimpinan tertinggi secara tidak langsung dengan 2,500 perwakilan akan hadir ke mesyuarat agung tahunan.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan sebelum ini memberitahu seramai 146,500 perwakilan Umno daripada 161 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti pada akhir tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan parti pada 2009.

Tengku Adnan kemudiaan mempertahankan langkah tersebut kerana Umno telah muncul sebagai parti terkuat dengan memenangi 88 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu berbanding ketiga-tiga parti pembangkang Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP, PAS da PKR.

"Umno mencapai prestasi yang sangat baik dan kami perlu jalankan tanggungjawab kepada rakyat.

"Kami menang 88 kerusi Parlimen, satu parti sahaja. Pembangkang menang 89 kerusi, tapi mereka ada tiga parti," tegas Tengku Adnan lagi yang merujuk kepada keputusan PRU13 lalu dimana PAS memenangi 21 kerusi, PKR memenangi 30 kerusi dan DAP 38 kerusi.

Di samping itu, Menteri Wilayah Persekutuan tersebut juga menegaskan keputusan tersebut mampu mengelakkan daripada parti berpecah serta tidak mahu mengkhianati sokongan masyarakat Melayu kepada Umno yang meningkat sebanyak 30 peratus pada pilihan raya lalu 5 Mei lalu.

"Kami juga sudah buat analisis semuanya dan mendapati sokongan Melayu kepada Umno naik kepada 30 peratus... kami tidak mahu parti ini berpecah," ujarnya lagi.

Beliau turut menyifatkan langkah adalah baik untuk parti dan juga kepada akar umbi khususnya dapat memfokuskan kepada menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

"Jika kami mampu menyatukannya dimana presiden dan timbalan presiden tidak dicabar, ia suatu yang baik untuk kami.

"Kemudiaan, kami dapat memberi khidmat yang baik ke atas keperluan orang Melayu. Itu adalah sebab utama, ia bukannya tidak demokratik. Kami lebih memilih kepada 'demokrasi terpimpin'," ujarnya lagi.

Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 2009 meluluskan pindaan perlembagaan iaitu 146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan Umno dengan menghapuskan sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan juga menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.

Walau bagaimanapun, bukan semua pemimpin dalam Umno menerima cadangan tersebut, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata jawatan presiden dan timbalan presiden Umno patut dipertandingkan pada pemilihan parti akhir tahun ini memandangkan ia sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan bersifat keterbukaan kepada ahlinya.

Kenyataannya tersebut turut disokong ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata tanpa pertandingan untuk dua jawatan tertinggi, presiden dan timbalan presiden Umno pada penghujung tahun ini, ia bakal menunjukkan parti berkenaan tidak mengamalkan demokrasi dalam pemilihannya.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong penuh cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti November ini.

Katanya beliau bimbang pertandingan bagi dua jawatan tertinggi yang masing-masing disandang Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan menyebabkan perpecahan dalam Umno dan juga orang Melayu. - 18 Jun, 2013.

Tiada ulasan: