Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia berkata sehingga kini kini pihaknya tidak menerima permohonan daripada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad untuk melawat tapak pembinaan Hospital Shah Alam.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Bisnes Ir Adanan Mohamed Hussain bagaimanapun memaklumkan kepada Malaysiakini, Jabatan Kerja Raya Cawangan Kerja Kesihatan boleh mengatur lawatan Khalid itu.

NONEAdnan berkata pejabatnya difahamkan bahawa kontraktor utama - Gadang Engineering (M) Sdn Bhd - ada menerima permohonan daripada pejabat ahli parlimen itu dan meminta berhubung terus dengan wakil pengarah projek JKR.

"Bagaimanapun Jabatan Kerja Raya Cawangan Kerja Kesihatan sehingga kini tidak menerima sebarang permohonan daripada ahli parlimen berkenaan untuk melawat tapak Hospital Shah Alam.

"Jabatan Kerja Raya Cawangan Kerja Kesihatan boleh mengatur lawatan berkenaan untuk ahli parlimen tersebut," kata Adanan dalam makluman bertulis kepada Malaysiakini.

Selasa lalu, Khalid berkata beliau sudah menunggu surat daripada JKR Pusat selama empat bulan berhubung permohonannya melawat tapak hospital itu serta laporan projek berkenaan di kawasannya.

Katanya lagi, surat permohonan untuk melawat tapak serta laporan tentang projek pembinaan itu telah diberi kepada syarikat kontraktor pembinaan pada Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, syarikat tersebut memintanya yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat, untuk memohon pada JKR negeri pada bulan yang sama.

"Lepas hantar surat pada JKR negeri, dia jawab kena dapatkan kelulusan daripada JKR Pusat dan saya telah hantar surat. Sampai sekarang saya tak dapat surat balasan," katanya.