'Henti bina rumah mewah'
Johari (tengah) ketika ditemu bual semasa menjadi jemputan dalam segmen `Kopi O Biskut Kering`, di konti radio Urban Youth FM, di ibu negara, malam kelmarin.
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu menghentikan pembangunan kediaman mewah di ibu kota, bagi memberi ruang membina sebanyak mungkin perumahan mampu milik di lokasi lebih strategik untuk dimiliki oleh warga kota khususnya golongan muda berkeluarga.

Pembangunan di ibu negara kini juga dilihat sudah mencapai tahap selesa, justeru pembinaan rumah buat warga kota perlu menjadi fokus dan agenda utama kerajaan biarpun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan ratusan juta ringgit untuk membeli tanah milik swasta demi mencapai matlamat itu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata, sudah tiba masanya perkara itu diberi perhatian serius oleh pihak yang mempunyai kuasa eksekutif, jika tidak mahu berdepan ‘kehilangan’ tenaga kerja muda yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi bandar.

Menurutnya, ini kerana, ketidakmampuan golongan itu memiliki rumah di Kuala Lumpur, ditambah pula dengan caj sewa mahal, membuatkan mereka terpaksa tinggal di pinggir bandar dan memaksa mereka menanggung kos perjalanan tinggi.

“Kita faham, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada rancangan pembangunan bandar, begitu juga dengan sektor swasta yang ada rancangan membangunkan tanah mereka berlandaskan keuntungan. Jadi, tidak boleh memaksa mereka bina rumah kos rendah dan mampu milik. Kerana itu, kerajaan perlu keluar belanja beli tanah mereka untuk tujuan itu.

“Tanah-tanah DBKL yang masih ada mungkin tidak strategik untuk tujuan itu kerana ia perlu dilengkapi dengan akses pengangkutan awam untuk memberi kemudahan kepada golongan yang berpendapatan sederhana ini,” katanya ketika sesi temu bual secara langsung menerusi segmen 'Kopi O Biskut Kering' di saluran radio internet, Urban Youth FM - Suara Belia Bandar, kelmarin.

Menurutnya, meskipun DBKL menyediakan perumahan dengan kadar sewa rendah, peluang untuk golongan tersebut memperolehnya amat tipis berikutan kuantiti unitnya kini amat terhad dan tidak mencukupi.

Katanya, keadaan itu boleh diatasi dengan DBKL membuat bancian semula terhadap golongan penyewa yang sudah menetap sekian lama, untuk diteliti kembali kelayakan mereka.

“Perumahan seumpama ini dibina untuk golongan yang berpendapatan rendah. Jadi peluang dalam tempoh lima tahun misalnya telah diberikan untuk mereka membina kehidupan kerana tidak mampu menyewa di luar. Selepas 10 tahun, tentunya ada yang sudah berkemampuan. Jadi DBKL perlu nasihatkan mereka ini untuk keluar.

“Beri peluang kepada warga kota lain yang tidak mampu untuk bina hidup mereka,” katanya.

Johari menambah, beliau sentiasa tekankan kepada kerajaan berhubung perkara-perkara berkenaan, malah sejak lebih dua tahun lalu apabila diberi mandat memangku kepimpinan BN Titiwangsa.

“Kerana itu, sejak saya ambil alih BN Titiwangsa, sepengetahuan saya, tiada tanah dalam kawasan parlimen ini yang diluluskan DBKL untuk pembinaan kediaman mewah.

“Untuk pembangunan Kampung Baru juga saya akan pastikan, jangan sampai pemilik tanah tidak duduk di situ, kerana ia penting untuk mempertahankan hak mereka,” katanya.