Khamis, 6 Jun 2013

EGM: FAM enggan jawab

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

Azzuddin Ahmad
Azzuddin Ahmad
 
SARANAN supaya suatu Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) diadakan bagi bagi menyelesaikan konflik badan induk bola sepak negara itu enggan diulas setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Ribuan maaf saya tidak mahu membuat apa-apa komen," ujar Datuk Azzuddin Ahmad.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyarankan agar EGM diadakan untuk ahli gabungan menyelesaikan konflik yang melanda FAM mutakhir ini.

Annuar menyifatkan langkah itu dilihat paling baik kerana isu-isu penting yang menjadi pertikaian boleh dibawa ke EGM secara teratur dan membolehkan ahli gabungan tersebut memutuskan segala dasar secara kolektif.

Jelas Annuar, sudah tiba masanya soal FAM dibincangkan secara serius kerana jika dibiarkan berterusan, ianya tidak ke mana dan katanya, mutu bola sepak negara terletak pada kaki ahli gabungan.

Kenyataan Annuar itu ekoran situasi melanda FAM yang berterusan dikecam hebat.

Kewibawaan FAM sebagai badan induk sukan bola sepak negara semakin tercalar dengan kritikan hebat daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang mempertikaikan keputusan FAM dalam isu perlawanan semula separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) baru-baru ini.

Semalam Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) turut memberi kritikan pedas kepada FAM.

Kenyataan yang dibuat atas kapasitinya sebagai Tengku Mahkota Johor (TMJ) menggesa FAM segera berubah demi bola sepak negara.

Antaranya Tunku Ismail berkata FAM gagal memberi layanan adil kepada gabungan, tidak membenarkan persatuan dan individu menyuarakan pendapat, selain membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya.

Tiada ulasan: