Isnin, 10 Jun 2013

Dzulkefly wakili Pas di Pejabat MB

Wartawan Sinar Harian
Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
 
SHAH ALAM – Pas Selangor mencadangkan bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, pelantikan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan parti dalam mesyuarat Pas Pusat dijalankan semalam.

Abdul Rani berkata, pelantikan Dzulkefly berdasarkan pengalaman beliau sebagai ‘orang lama’ dalam kancah politik di Selangor.

Menurutnya, Dzulkefly merupakan calon paling layak untuk memegang jawatan itu kerana sebelum ini beliau tahu mengenai apa berlaku di negeri ini.

“Kita dah bermesyuarat sebentar tadi dah memutuskan untuk mencadangkan Dzulkefly untuk memegang jawatan tersebut.

“Kita akan buat surat kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim esok (hari ini) berhubung perkara ini,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan DAP yang turut mencadangkan supaya Pas menyenaraikan wakil sebagai Pegawai Perhubungan Politik.

DAP mencadangkan supaya Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok memegang jawatan Pegawai Perhubungan Politik dengan status dan syarat lantikan yang serupa dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Cadangan lantikan tersebut adalah bertujuan untuk memastikan keseimbangan kerana DAP adalah rakan kongsi sekata dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Abdul Khalid melantik Saifuddin sebagai Pegawai Perhubungan Politik.

Abdul Rani berkata, sebelum ini Abdul Khalid meminta Pas menyenaraikan calon bagi jawatan itu.

Menurutnya, ia bagi memantapkan pentadbiran Kerajaan Negeri memandangkan kemenangan dikecap adalah hasil usaha ketiga-tiga parti.

“Baguslah biar wakil ketiga-tiga parti ada bagi melancarkan pentadbiran kerana ini kemenangan bersama.

“Malah Menteri Besar setuju supaya Pas menyerahkan nama,” katanya.

Tiada ulasan: