Ahad, 9 Jun 2013

DAP sasar 13 kerusi di Sabah dalam pelan tindakan PRU14

Oleh Clara Chooi
Penolong Pengarang Berita

KUALA LUMPUR— DAP memulakan kempen menghadapi Barisan Nasional (BN) di Sabah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan mengumumkan pelan tindakan "kawasan angkat", dimana wakil yang dipilih akan menjaga 13 kerusi negeri untuk tempoh lima tahun. 
 
Penasihat DAP Lim Kit Siang menyenaraikan kerusi sasaran semasa lawatan ke negeri tersebut hari ini, lebih satu daripada wakil DAP sama ada dari Sabah ataupun luar boleh dilantik untuk berkhidmat di setiap 13 kawasan tersebut.

"Saya ingin mengingatkan para pemimpin, ahli, dan penyokong DAP serta Pakatan Rakyat bahawa kita tidak mempunyai masa untuk berehat kerana kita harus segera memulakan kerja untuk mencapai matlamat yang gagal kita capai dalam PRU13, selain untuk memastikan yang kita berjaya membina asas yang kukuh untuk turut memenangi kerajaan negeri Sabah dalam PRU14," kata Lim dalam satu kenyataan media yang merujuk kepada pilihan raya 5 Mei lalu yang baru berakhir.

Pilihanraya 2013 menyaksikan BN kembali berkuasa di Sabah dengan majoriti selesa dua pertiga tetapi gabungan pemerintah tersebut kehilangan beberapa kerusi yang dimenangi mereka pada tahun 2008.

PR mencatatkan kemenangan bersejarah di kubu kuat BN, menambah 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 60 keseluruhan dan tiga kerusi parlimen.

Pada pilihan raya umum 2008, pembangkang hanya memenangi satu kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen di Sabah, kedua-duanya dimenangi oleh DAP.

Lim berkata walaupun PR tidak mencapai sasaran asal untuk memenangi sekurang-kurangnya satu pertiga daripada 26 kerusi Parlimen di Sabah, negeri tersebut tidak lagi boleh dianggap sebagai "deposit tetap "BN".

Beliau menegaskan situasi sama kini berlaku di Sarawak dan Johor, dua buah negeri yang dahulunya dianggap kubu BN, sambil menambah pertarungan untuk gabungan pemerintah dalam pilihan raya mendatang "sudah terbuka sepenuhnya kepada semua parti".

Memetik keputusan pilihan raya di Sabah, Lim mengulangi kekecewaannya terhadap pertikaian kerusi saat-saat akhir antara parti pembangkang di negeri tersebut dengan parti tempatan, Parti Progresif Sarawak (SAPP) dan Parti Reformasi Negeri (STAR).

Beliau berkata, jika tidak kerana pertikaian tersebut, BN akan kalah empat lagi kerusi Parlimen dan lapan DUN, iaitu Kota Marudu, Keningau, Tenom dan Pensiangan bagi kerusi Parlimen dan Kiulu, Kundasang, Paginatan, Tambunan, Liawan, Melalap, Nabawan dan Elopura bagi kerusi DUN.

Sekiranya semua pembangkang bersatu sepenuhnya, BN sekurang-kurangnya akan tewas lagi di 11 kerusi Parlimen dan 26 DUN, dakwa Lim lagi.

Walau bagaimanapun, MP Gelang Patah tersebut mahu melihat ke hadapan dan menggesa PR kini sepatutnya fokus untuk memenangi kedua-dua kerusi persekutuan dan juga kerajaan negeri Sabah, dengan mengambil kira kemenangan yang memberangsangkan dalam pilihan raya yang lalu.

"Atas sebab ini juga, selain empat kerusi DUN yang telah DAP miliki, DAP Sabah akan segera memberikan tumpuan terhadap 13 kawasan untuk membantu Pakatan Rakyat mencapai kedua-dua matlamatnya dalam PRU14 - kerusi yang dinamakannya ialah Elopura, Karamunting, Tanjong Papat, Tanjong Aru, Karanaan, Paginatan, Tanjong Kapor, Melalap, Kemabong, Liaiwan, Sook, Tambunan dan Merotai," kata Lim.

"Untuk membantu kempen DAP dan PR di Sabah bagi PRU14, Ahli-ahli Parlimen dan ADUN DAP di dalam dan luar Sabah digalakkan untuk mengambil salah satu dari 13 kawasan berkenaan sebagai kawasan angkat," tambahnya lagi.

Jawatankuasa perhubungan DAP negeri Sabah dan juga Ahli Parlimen Teresa Kok yang telah dilantik sebagai penyelaras bagi Sabah dan Sarawak akan mengumumkan butiran lanjut mengenai program anak angkat itu, kata Lim.

Bagi sebelah pihaknya, ahli politik itu berkata beliau akan mengambil DUN Karanaan sebagai kawasan angkatnya.

Tiada ulasan: