Isnin, 10 Jun 2013

DAP cadang Teresa jadi 'political laison'

JANATUL FIRDAUS YAACOB & AHMAD NORMAN ABU TALIB
Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok
Teresa Kok
 
SHAH ALAM - Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mencadangkan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Politik Kerajaan Negeri Selangor (political laison).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan akhbarnya berkata, pelantikan Teresa adalah menyamai status dan syarat lantikan yang serupa dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

“Cadangan lantikan Teresa ini adalah bertujuan memastikan keseimbangan dan DAP adalah rakan kongsi sekata dalam Kerajaan Negeri PR.

“Dalam hal ini, Pas juga seharusnya diberi kelayakan sama dengan mempunyai seorang Pegawai Perhubungan Politik mewakili parti itu,” katanya.

Terdahulu pada Kongres Nasional PKR ke-9 bulan lalu, Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Saifuddin sebagai wakil Pegawai Perhubungan Politik kerajaan Selangor.

Kewujudan jawatan ini timbul selepas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan keperluan pentadbiran Selangor untuk menempatkan seorang wakil di kalangan ahli politik PR bagi mengkoordinasi pentadbiran dan politik di Selangor.

Bagaimanapun selepas dua minggu selepas cadangan itu diusulkan, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor membangkitkan isu keputusan melantik Saifuddin tidak dibincangkan dengan kepimpinan negeri terlebih dahulu.

Sementara itu, berhubung tiga wakil rakyat DAP Selangor yang akan dilantik ke dalam Majlis Pimpinan PR kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu rakyat, CEC DAP telah memutuskan melantik Tony Pua, Teng Chang Khim dan Gobind Singh bagi menganggotai majlis 10 orang tersebut yang dipengerusikan Abdul Khalid.

Dalam perkembangan sama, Teresa berkata, beliau menerima cadangan tersebut dengan hati terbuka dan bersedia untuk memegang jawatan tersebut.

Menurutnya, beliau percaya dengan pelantikan itu dapat membantunya untuk melancarkan pentadbiran Selangor.

Katanya, beliau akan menggunakan pengalaman selama lima tahun lalu terlibat sebagai Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.

“Saya sedia dengan pelantikan ini kerana sudah lima tahun terlibat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan saya tahu serba sedikit mengenai urusan pentadbiran dan isu berkaitan kerajaan negeri.

“Pelantikan dibuat ini adalah berdasarkan keputusan parti dan cadangan kepada Menteri Besar (Abdul Khalid) untuk kebaikan bersama,” katanya.

Tiada ulasan: