MSO
Semua orang boleh bercakap dan rasa mahu bercakap mengikut naluri
dan kepentingan diri masing-masing. Itulah kebebasan, dan kemahuan itu
menandakan mereka hidup. Kebebasan ini bukan saja dibenarkan oleh sistem
demokrasi, tetapi Islam sangat mementingkan dan adil dalam memberi hak
dan kebebasan bersuara. Sebab itu Islam itu syumul.
Tuhan menyuruh kita membaca dengan seruan dalam surah Iqrak, adalah
menjadi simbol kebebasan kepada kita untuk menimba ilmu seberapa banyak
kemudian bercakap (sebar dan guna) ilmu berkenaan untuk kepentingan
manusia dan dunia.
Pun begitu ia tetap ada batas-batasnya. Macam demokrasi juga, walaupun
ia bebas tetapi tetap tertakluk kepada undang-undang dan naluri manusia.
Demokrasi mengalu-alukan kebaikan dan kemuliaan. Begitu juga dengan
agama, semua agama mahukan kepada kebaikan dan kemuliaan. Bahkan
lebih-lebih lagi tekanan mengenainya. Sekatan atau kawalan dikenakan
oleh demokrasi atau agama dengan tujuan satu, untuk kebaikan dan
kemuliaan. Selain dari tujuan itu ia bukan kebenaran sebaliknya
kejahatan.
Saya ingin menyinggung mengenai kebebasan bersuara
dan ruang memberi pendapat yang digunakan oleh bekas Hakim Mahkamah
Rayuan, Mohd Noor Abdullah yang mencadangkan supaya satu akta khas untuk
menghukum mereka yang menderhaka kepada raja atau sultan digubal.
Katanya walaupun sudah ada akta Hasutan 1948 yang mengenakan hukuman ke
atas sesiapa yang melakukan penderhakaan kepada raja atau sultan tetapi
itu tidak mencukupi. Akta itu ikhaskan kepada kesalahan-kesalahan lain.
(Mungkin dalam konteks ini Mohd Noor ada tafsiran lain mengenai
penderhakaan? Elok dan molek kalau beliau menghurai dan mentafsirkan
bentuk penderhakaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada negara dan
sesuai dengan perintah Allah itu agar rakyat tidak kabur mengenainya).
Makanya satu akta baru, Akta Derhaka perlu digubal. Saya sependapat
dengan pandang balas oleh Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli yang
menganggap kewujudan akta derhaka itu akan memberi impak negatif kepada
negara termasuk dicap sebagai ekstrem. Pandangan Rafizi boleh dianggap
sebagai pandangan anak muda atau generasi baru yang melihat dunia hari
ini dengan mata bukannya ilusi atau impian serta pendodoian melampau.
Sudah pasti akta berkenaan menjadikan kita surut ke belakang seperti
lebih 400 abad lalu.
Dahulu kala rakyat jelata begitu takut untuk berhadapan dengan raja
hatta untuk menyampai sesuatu yang baik kepada baginda. Ini berlaku
kerana adat-adat berhubung atau pun 'kebudayaan beraja' itu begitu
tinggi yang ditafsirkan secara kolot dan feudal. Hatta untuk memberi
tahu buah nangka baginda sudah masak dan kalau tidak dikait akan busuk
pun begitu susah dan memerlukan peraturan dan adat istiadat ketat,
mungkin kena angkat sembah.
Jangan cakaplah soal-soal yang lebih kritikal dari itu. Sejarah atau
mitos lampau banyak menceritakan bagaimana raja sebagai raja melakukan
apa yang diingini mengikut kehendak hati dan nalurinya. Kenapa wujud
bidalan 'raja bersultan di mata dan beraja di hati'. Ini kerana
raja-raja zaman dulu melakukan tindakan dan menjatuhkan hukuman tanpa
usul periksa yang adil dan saksama. Ia kerana raja bersandarkan kepada
laporan para penasihat saja. Yang lebih malang bila ada penasihat yang
berhati busuk dengki dan khianati.
Maka terjadilah hukuman dikenakan kepada mereka atau individu yang tidak
benar-benar bersalah atau dalam erti kata lain tidak melakukan jenayah
kepada rakyat dan negara. Manajala yang benar-benar jahat dan khianat
lepas atau pun terus berlindung dalam 'genak' istana.
Saya bimbang kalau akta derhaka yang dicadangkan oleh bekas Hakim
Mahkamah Rayuan itu dilaksanakan, kehidupan kita akan kembali ke zaman
gelap dan zalim itu semula. Akta itu menyebabkan rakyat akan melihat
raja atau institusi raja itu tidak akan dapat ditegur dan dikritik
langsung bimbang ia ditafsirkan sebagai penderhaka. Rakyat juga dalam
ketakutan dan bersifat rendah diri tanpa sebab munasabah. Rakyat akan
hilang haknya sebagai hamba Allah.
Al hasilnya raja atau institusi raja akan terus menjadi raja dan kebebasan yang diperjuangkan rakyat selama ini akan berkubur.
Apa yang telah dirombak oleh Mahathir Mohamad lebih 20 tahun lalu yang
mengurangkan imuniti raja-raja sesuatu yang sudah molek dan betul.
Proses evolusi itu melengkapkan institusi raja dengan demokrasi
(rakyat). Raja-raja juga tidak bermasalah dengan proses itu dan baginda
dapat bertahkhta dengan aman dan selamatnya. Keris dan tengkolok mereka
tidak lurus dan berkarat. Kedudukan dan kedaulatan raja-raja tidak
pernah tercalar pun.
Jadi apakah kerana ada sedikit kebebasan bersuara menerusi media baru
dilakukan oleh mereka yang jahil mengenai instutusi raja maka sebuah
akta hendak dibuat? Inilah yang saya nampak di Malaysia, kita akan
menyelesaikan sesuatu itu dengan akta dan undang-undang tanpa memilih
jalan lain. Walhal dalam kronologi kehidupan Islam, selain dari
menghukum manusia untuk memberi pencerahan dan keinsafan dianjurkan
melakukan metode menerusi tarbiyah, pendidikan.
Bagi saya daripada kita menggubal akta yang membawa kita ke zaman
lembing dan tombak elok kita perkasakan kembali pendidikan Tata Rakyat
yang pernah diamalkan sebelum ini. Pendidikan itu juga perlu diubat
dengan pendekatan lebih fleksible dan autentik, bukannya dari satu arah,
supaya rakyat mentaati rakyat tanpa memberi tahu falsafah dan
penghuraian kenapa harus berbuat begitu. Subjek itu juga harus berani
juga memberi tahu apa yang harus raja dan sultan lakukan.
Majoriti rakyat negara ini Islam dan bekas hakim itu juga Islam. Kenapa
tidak mahu mengambil metodolgi Islam dalam membentuk pemikiran dan jiwa
rakyat di negara ini? Apakah kita tidak yakin dengan Islam? Kalau kita
tidak yakin, untuk apa kita berpegang kepadanya. Islam bukan saja untuk
menjadikan kita manusia berpuasa, solat, berzakat, naik haji dan
sebagainya, tetapi Islam adalah untuk dipraktikan ke dalam seluruh
kehidupan kita dari masa jaga hingga ke masa tidur. Sebab Islam itu
memikirkan mengenai mati dan hidup manusia.
Jadi bagi mendidikan rakyat negara ini agar tidak menderhaka kepada raja
bagilah maklumat dan pendidikan Islam kepada mereka, dan jangan lupa
juga raja-raja kita perlu dilengkap dengan ilmu Islam sedalam mungkin.
Bahkan mereka lagi sesuai dipenuhi dengan ilmu Islam kerana raja atau
sultan ada kepala agama di negara ini. Tidak ada erti kalau kepala tanpa
ilmu. Kalau raja-raja kita berdiri atas takhta sebagai 'amirrumukmini'
kita semua akan selamat.
Kesimpulannya jangan kita mudah menerima cadangan oleh bekas hakim
berkenaan yang bagi saya sudah gelap pintu fikirnya dan apa yang beliau
nampak hanya pintu penjara saja, kerana dia sebagai hakim yang mahu
mengambil jalan mudah, penjara saja orang salah habis cerita. Seperkara
lagi bukan semua pandangan hakim itu benar dan betul, kadang-kadang
hakim juga terkhilaf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan