Selasa, 4 Jun 2013

Bot karam: Polis siasat 2 lelaki dakwa penumpang terselamat

Wartawan Sinar Harian
BELAGA - Dua lelaki membuat laporan polis di Kapit dengan mendakwa mereka adalah penumpang dan telah kehilangan barang serta dokumen dalam tragedi bot ekspres 'Kawan Mas' karam di Giam Bungan, Sungai Rajang, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Bakar Sebau berkata polis perlu mengesahkan kesahihan laporan itu sebelum nama kedua-dua mereka dimasukkan ke dalam senarai mangsa terselamat.

"Kami perlu menyiasat kesahihan laporan berkenaan kerana khuatir mungkin ada yang mengambil kesempatan berhubung kejadian ini.

"Jadi setakat ini (malam tadi), jumlah mangsa yang selamat ialah 205 orang, dua masih hilang dan satu mayat sudah dijumpai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penyelamat, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Bakar turut memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang membuat laporan palsu mendakwa penumpang dalam kejadian itu.

Beliau berkata tambahan dua buah jentolak milik sebuah syarikat pembalakan akan dibawa esok berdekatan lokasi bot ekspres dalam usaha untuk menarik dan mengapungkan bot itu.

Tiada ulasan: