Azmin Ali
Azmin Ali 
 
SHAH ALAM - PKR tidak berhasrat memboikot majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat seperti mana yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali mendakwa ia hanyalah spekulasi semata-mata dan pihaknya menafikan khabar angin itu walhal tindakan boikot itu hanyalah taklimat Parlimen pada 11 Jun lalu sahaja.

"Saya ingin menyatakan bahawa PKR tidak pernah memutuskan untuk memulaukan majlis angkat sumpah.

"PKR dan PR hanya memutuskan supaya memboikot taklimat Parlimen pada 11 Jun lalu.

"Boikot yang telah dijalankan sebagai protes berprinsip terhadap penipuan besar yang dilakukan oleh BN dalam PRU13 lalu," dakwanya yang dipetik dari media sosial Facebook (FB) PKR, malam tadi.

Beliau yang dipetik berkata, semua ahli parlimen PKR akan menghadiri majlis angkat sumpah itu dan berikrar akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan sebaik mungkin setelah dipilih rakyat pada PRU13, 5 Mei lalu.