Roketkini.com
BUKIT MERTAJAM: DAP menggesa kerajaan menyemak semula semua dasar pendidikan dan ekonomi yang menyebabkan pengangguran sehingga 63,909 orang atau 31% daripada jumlah graduan negara ini yang akan tamat pengajian enam bulan lagi.
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, Pemuda DAP (DAPSY), Steven Sim Chee Keong berkata, merujuk statistik 2012 yang didedahkan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.
Katanya, biarpun kadar pengangguran negara ini keseluruhannya berada di tahap tiga hingga empat peratus, data Laporan Ekonomi 2011 hingga 2012 Kementerian Kewangan pula menunjukkan seramai 308,371 orang atau 90.1 peratus penganggur daripada pencari pekerjaan yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja berumur antara 15 dan 29 tahun
“Keadaan ini jelas menunjukkan masalah yang serius iaitu, anak muda kita tidak berupaya memasuki pasaran kerja,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.
Menjelaskan lanjut, satu daripada punca berlakunya fenomena ini disebabkan dasar ekonomi kerajaan pusat yang terlalu bergantung kepada tenaga kerja murah khususnya pekerja tidak mahir dan separuh mahir dari negara luar.
“Ini bukan saja menyebabkan kekosongan diisi pekerja asing malah menyebabkan pasaran kerja negara ini menjadi “a race to the bottom” iaitu wujud suatu keadaan di mana tiada persaingan dalam peningkatan gaji, kebajikan pekerja, peluang kenaikan serta peningkatan kemahiran dalam pasaran. Ini menyebabkan persekitaran pekerjaan dan keadaan pekerja menjadi semakin mundur,” katanya.
Beliau pada masa yang sama tidak menolak bahawa faktor campur tangan politik dalam sistem pendidikan negara juga menyumbang kepada masalah yang dihadapi graduan negara.
“Akibat campur tangan politik, sistem pendidikan kita tidak bermaya. Kita hanya mampu meningkatkan kuantiti mahasiswa tetapi tidak dapat menjamin kualiti mereka. Akhirnya kerajaan juga terpaksa membelanjakan duit rakyat untuk melatih semula siswazah yang tidak mendapat kerja.
“Masalah pengangguran anak muda di negara kita bukan boleh diselesaikan dengan hanya menganjurkan pameran pekerjaan semata-mata.,” katanya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan