Selasa, 7 Mei 2013

Zambry kekal MB Perak

SINAR HARIAN

Zambry Abdul Kadir
Raja Dr Nazrin Shah menyampaikan watikah perlantikan jawatan Menteri Besar Perak kepada Zambry Abd Kadir di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini. - Foto Bernama
 
KUALA KANGSAR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah di sini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Pangkor itu yang hadir diiringi isteri Datin Seri Saripah Zulkifli, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia, di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah pada pukul 10.45 pagi.

Zambry yang berbaju Melayu lengkap berwarna hitam kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim, Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, anggota Dun, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Zambry mempertahan kerusi Dun Pangkor dengan majoriti 5,124 undi menewaskan dua pencabar iaitu calon Bebas Bernard Parenpa dan calon PKR Mohd Saifullah Mohd Zulkifli. - Bernama

Tiada ulasan: