Khamis, 23 Mei 2013

Zahid, Noh disaran ambil cuti pergi belajar

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar diseru bercuti dan mendalamkan pengetahuan mereka mengenai sistem pilihanraya ‘first-past-the-post’ sebelum menyuruh rakyat keluar dari negara ini atau tinggal di hutan.


(Ong Kian Ming cadang Zahid dan Noh pergi belajar semula)

Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata walaupun Zahid betul ketika menyatakan bahawa sistem pilihanraya Malaysia diwarisi daripada United Kingdom sejurus selepas mencapai kemerdekaan, tapi beliau terlupa beberapa perkara penting.

Antaranya ialah cadangan Suruhanjaya Reid untuk mengehad perbezaan jumlah pengundi antara kawasan kepada 15 peratus dan kurang daripada purata mengundi setiap kawasan dalam negara.

“Jurang maksimum untuk kawasan pedalaman yang dibenarkan ialah 2 kepada 1 – yang bermaksud saiz pengundi kawasan terbesar hanya boleh dua kali lebih besar daripada saiz kawasan terkecil,” kata Ong.

Tapi di Malaysia, beliau berkata perkara ini tidak berlaku di mana parlimen Kapar mempunyai jumlah pengundi seramai 144,369, sembilan kali lebih banyak daripada parlimen terkecil iaitu Putrajaya yang hanya mempunyai 15,798 undi.

Pada 2011, kata Ong, UK telah meluluskan satu undang-undang untuk mengehadkan perbezaan itu kepada 5 peratus, di Australia pula dihadkan kepada 10 peratus manakala Kanada berada di 25 peratus.

Proses pensempadanan semua di Australia, kata Ong, pula terpaksa mematuhi had 3.5 peratus perbezaan jurang pengundi antara kawasan.

“Jika Australia, yang kawasannya sebegitu luas, boleh mengikuti sistem satu rakyat satu undi, tiada sebab Malaysia tidak boleh mengikutnya,” kata Ong.

Zahid dan Noh kini dikecam pelbagai lapisan masyarakat selepas menyeru rakyat yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihanraya di negara ini untuk berhijrah ke negara lain atau tinggal di hutan.

BN memenangi pilihanraya di pilihanraya umum ke 13 dengan majoriti 34 kerusi parlimen meskipun tewas undi popular sebanyak 4 peratus di tangan Pakatan Rakyat dengan memenangi majoriti kerusinya di kawasan parlimen yang jumlah pengundinya rendah dan di kawasan pendalaman.

Tiada ulasan: