Jumaat, 24 Mei 2013

Zahid, Hentikan Tangkapan ‘Rakus’ Pemimpin Pakatan, NGO


Gambar: Tian Chua ditahan di LCCT

KELAB GREENBOC
 
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menyelar tindakan rakus Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sejak memegang jawatan, berterusan menggunakan kuasa sewenangnya bagi menutup mulut rakyat dan menghentikan penentangan terhadap penipuan pilihanraya yang lalu.

Pembebasan Adam Adli melalui ikat jamin, tidak mencerminkan apa-apa apabila Yb Tian Chua, Sdr Haris Ibrahim dan Dato’ Thamrin Ghafar ditahan beberapa jam yang lalu.

Tindakan Zahid ini dilihat sebagai penuh kegilaan, mengancam dan menyekat kebebasan majoriti rakyat yang mula bangkit untuk mempersoalkan kerajaan Barisan Nasional serta SPR diatas beberapa penipuan jelas bagi rejim pemerintah mengekalkan kuasa dalam pilihanraya paling kotor dalam sejarah.

AMK Selangor bertegas sebarang bentuk penentangan, dan kebangkitan yang berlaku sejak 5 Mei 2013, bukanlah berpaksi kepada kekecewaan dan tidak menerima kekalahan tetapi adalah satu manifestasi persoalan tentang beberapa bentuk salahlaku serta penipuan pilihan raya.

Rakyat sebagai penentu masa depan negara, berhak mengetahui keadaan sebenar beserta punca serta menggesa tindakan pantas kerajaan untuk menjelaskan perkara ini.

Sebaliknya, Barisan Nasional tergesa-gesa menubuhkan kerajaan sebelum sebarang penjelasan diberikan dan inilah tindakan yang mendatangkan keraguan dan kekecewaan besar kepada rakyat terbanyak.

AMK Selangor menyeru pembebasan segera mereka ini yang lebih bersifat tahanan politik, dan sewajarnya Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri menjamin hak tahanan dan tidak memperlakukan mereka seperti pesalah, selagi mereka tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Justeru, AMK Selangor menyeru rakyat tidak tunduk dan takut untuk mempersoalkan apa juga keraguan berkaitan dengan proses tatakelola negara, dan sebarang usaha keras oleh Zahid Hamidi dan Kementerian Dalam Negeri serta PDRM hanyalah satu usaha terdesak dan terakhir untuk mengekang kebangkitan rakyat ini. Semangat perjuangan rakyat, baru sahaja dinyalakan.

Azmizam Zaman Huri
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia

Bebaskan segera Tian Chua, Haris


PKR hari ini mendesak pembebasan serta merta Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan aktivis Asal Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 sebentar tadi.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa kerajaan menghentikan pendakwaan bermotifkan politik terhadap aktivis Pakatan Rakyat dan NGO.

“Ini satu lagi bukti bahawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi terperangkap dengan dasar-dasar lapuk UMNO-Barisan Nasional (BN).

Menurut Nik Nazmi, pada tahun lepas, Najib mengumumkan bahawa Akta Keharmonian Nasional untuk menggantikan undang-undang zalim tersebut namun Akta Hasutan yang digubal penjajah tersebut kekal.

Ujar beliau, “dakwaan bahawa beliau mahukan rekonsiliasi nasional selepas pilihan raya baru-baru ini juga terbukti janji kosong semata-mata.

“Ini adalah petanda buruk bagi rejim baru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Penahanan terbaru ini berlaku selepas dakwaan terhadap saya di bawah Akta Perhimpunan Aman dan penahanan aktivis mahasiswa Adam Adli di bawah Akta Hasutan,” kata Nik Nazmi.

Ironisnya, ramai pimpinan UMNO-BN dan akhbar mereka Utusan Malaysia terus membakar sentimen perkauman namun tiada tindakan diambil ke atas mereka sedangkan pimpinan yang berjuang untuk demokrasi menjadi mangsa.

“Ini menunjukkan hipokrasi pentadbiran Najib,” ujar beliau.

Tamrin ditahan di Bangsar

Sementara itu, polis juga menahan Tamrin Tun Ghafar petang tadi di sebuah restoran dekat Bangsar dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

“Saya ditahan oleh Polis Bukit Aman. Polis sedang menunggu saya menghabiskan makan tengahari di Chawan (Restoran), Bangsar,” kata Tamrin dalam sms kepada rakan-rakannya.

Dengan penangkapan Tamrin, polis kini telah menahan empat orang iaitu aktivis pelajar Adam Adli, anggota Parlimen Batu Tian Chua dan akhtivis Asal Bukan Umno, peguam Haris Ibrahim.
-FMT

Tiada ulasan: