Sabtu, 11 Mei 2013

Tsu Koon lepas jawatan 16 Mei, Soi Lek sebelum akhir tahun

Wartawan Sinar Harian

Tan Sri Dr Koh Tsu Koon
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
 
SHAH ALAM - Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada 16 Mei ini - perkembangan diumumkan hari ini, seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow juga akan melepaskan jawatannya pada 16 Mei ini.

Perkara itu diumumkan oleh Tsu Koon di ibu negara selepas mesyuarat pusat parti tersebut pagi tadi.

Timbalan Tsu Koon, Chang Ko Youn akan mengambil alih sebagai jawatan sebagai pemangku presiden sehingga akhir bulan Jun.

Pemilihan parti akan bermula akhir bulan depan.

Dalam perkembangan lain, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau akan berundur selepas pemilihan parti yang diadakan antara Jun dan Disember ini.

"Saya akan pergi pada masa yang sesuai apabila semuanya sudah selesai," kata beliau selepas mesyuarat Mesyuarat Majlis Presiden MCA di ibu negara hari ini.

Pemilihan pusat MCA akan diadakan paling awal bulan depan dan tidak lewat daripada Disember ini.
Kedua-dua Tsu Koon dan Soi Lek tidak bertanding pada PRU13 yang diadakan Ahad lalu.

Sementara itu. Tsu Koon berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau rasa bertanggungjawab atas kekalahan teruk parti berkenaan pada PRU13.

"Saya telah memaklumkannya (peletakan jawatan) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan memberi laluan kepada parti untuk memulakan proses pembaharuan melalui pemilihan jawatankuasa baru pada masa akan datang.

"Walaupun telah meletakkan jawatan, saya tetap akan memberi khidmat saya sekiranya perlu dan akan terus bersama-sama dengan parti bagi meneruskan

Berkenaan dengan penyertaan wakil parti itu dalam kerajaan pusat, Tsu Koon berkata pihaknya tetap dengan pendirian mereka untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam Kabinet.  

Bagaimanapun, pemimpin Gerakan masih boleh memegang jawatan di peringkat negeri, katanya.

Ditanya mengenai dakwaan DAP yang menyifatkan keputusan MCA dan Gerakan tidak menyertai Kabinet sebagai tidak matang, Tsu Koon berkata: "Kami hanya menang satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun sahaja, tidak mungkin bagi kami untuk menerima sebarang jawatan dalam Kabinet kerana anggota yang mewakili kami terlalu sedikit."

Gerakan menang kerusi Parlimen Simpang Renggam (Johor) serta Dun Sidam (Kedah), Pemanis (Johor) dan Tanjong Papat di Sabah.

Gerakan bertanding 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dun pada PRU13.

Pada PRU 2008, parti itu menang dua kerusi Parlimen dan empat kerusi Dun.

Tiada ulasan: