Jumaat, 17 Mei 2013

Tiga lelaki ditahan kes pukul kempen PRU13

SINAR HARIAN
GEORGE TOWN - Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai memukul seorang penjaja semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Jalan Perak di sini pada 16 April lepas.
  
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang SAC Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata ketiga-tiga suspek yang berumur dalam lingkungan antara 20-an dan 30-an itu menyerah diri di Balai Polis Jelutong empat hari lepas.

Sehubungan itu beliau berkata kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mendakwa polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang diserang semasa tempoh kempen pilihan raya umum lepas adalah tidak benar.

"Kalau ketua menteri kata tak ada tindakan dibuat, itu tak betul. Kita ada buat tangkapan terhadap kes ini," katanya kepada pemberita selepas upacara pemakaian pangkat Koperal ke Sarjan bagi Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Semalam, Lim pada sidang akhbar menggesa polis supaya mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

Beliau mendakwa tiada tindakan diambil oleh polis walaupun suspek sudah dikenal pasti.

Dalam kejadian 16 April lepas itu, Teoh Hock Choon, 53, dipukul sekumpulan lelaki selepas dia didakwa menurunkan bendera 1Malaysia di perkarangan rumahnya di Jalan Perak.

Teoh menerima lebih daripada 100 jahitan dan berada dalam keadaan koma selama beberapa hari.

Abdul Rahim berkata kertas siasatan kes berkenaan telah dihantar kepada pendakwa raya dan kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama

Tiada ulasan: