Rabu, 22 Mei 2013

‘Suara Rakyat Suara Keramat’ tema Kongres KEADILAN ke-9

Oleh Aisha Geoffrey

PETALING JAYA : ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ dipilih sebagai tema Kongres Nasional KEADILAN ke-9 yang diadakan dua hari bermula Jumaat ini.

Seramai 2,500 termasuk perwakilan, pemerhati dan jemputan khas akan menghadiri program rasmi parti itu yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, perwakilan tersebut melibatkan 221 Cabang seluruh negara.

Kongres

“KEADILAN sekarang mempunyai 222 Cabang tetapi hanya 221 yang akan hadir kerana satu cabang lagi iaitu di Igan, Sarawak belum berdaftar dengan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan),” jelas Saifuddin turut memaklumkan hitam menjadi warna tema kongres.

Ibu Pejabat KEADILAN akan menyiarkan secara langsung perasmian kongres pada Sabtu yang dijadual bermula jam 8 pagi.

“Program berlangsung selama sehari iaitu dari pagi sehingga jam 7 petang.  Keperluan kita adalah untuk meluluskan Minit Kongres 2011, Penyata Kewangan 2011 dan Laporan Tahunan 2012,” jelasnya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

“Kongres kali ini bertujuan bagi menggantikan program yang sepatutnya dilangsungkan pada 2012, tetapi disebabkan kita mahu tumpu kepada pilihan raya, kita tangguh sehingga tahun ini,” kata Saifuddin lagi.

Tambahnya, tiga usul akan dibahaskan termasuk ucapan dasar presiden, perjalanan PRU 13 serta hala tuju KEADILAN.

“Seramai 16 pembahas akan membahaskan ketiga-tiga usul berkenaan yang bermula sejurus selepas ucapan Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” katanya.

Sehari sebelum itu, Kongres Nasional melibatkan sayap KEADILAN – Angkatan Muda dan Wanita akan turut berlangsung di tempat sama.

“Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali akan merasmikan kongres tersebut sepertimana tradisi sebelum ini,” kata Saifuddin.

Tiada ulasan: