Isnin, 20 Mei 2013

Suara pemuda PAS akan gegar Dun Terengganu

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Kehadiran ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kalangan orang muda PAS akan menjadikan persidangan Dun Terengganu penggal ini lebih menarik dan panas.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menyifatkan kehadiran 'tenaga muda' tersebut akan memberikan 'orang lama' sepertinya sedikit masa untuk berehat kerana lebih banyak ruang berhujah dan berdebat akan diberikan kepada mereka, lapor Buletin Online.

Beliau berharap 'pemikiran orang muda' daripada Adun PAS akan meningkat kualiti perbahasan Dun kepada lebih baik dan mengubah trend politik masa depan kepada 'politik bermaklumat'.

“Insya Allah, kita (PAS) ada ramai suara orang muda yang jadi Adun dan saya boleh berehat sikitlah. Cuma saya harap peluang yang diberikan ini digunakan sebaik mungkin dan mereka perlu berkhidmat dengan baik.

“Mereka mesti jadi Adun yang baik dan wakil rakyat yang baik. Ini tugas mereka sebagai Adun dan peranan mereka dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) nanti. Di kawasan masing-masing, saya harap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesan,” ujarnya ketika berucap pada majlis kesyukuran di Pengkalan Berangan, Marang, kelmarin.

Pada PRU13 baru-baru ini, empat daripada lima calon Dewan Pemuda PAS negeri berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.

Mereka terdiri daripada ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah selaku Adun Bukit Payong, timbalan, Ustaz Ridzuan Hahim (Teluk Pasu) dan dua exco, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim (Tepoh) dan Ustaz Hilmi Harun (Manir).

Tiada ulasan: