Ahad, 5 Mei 2013

SPR tidak bimbang ‘dakwat kekal’ tidak kekal

Oleh Boo Su-Lyn

 Jari perdana menteri sementara Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansur selepas mereka selesai mengundi di Pekan, Pahang, 5 Mei, 2013. — Gambar ReutersKUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan hari ini mereka tidak bimbang dengan dakwat kekal yang boleh dibasuh, mengatakan pengundi tidak boleh mengundi dengan satu nombor kad pengenalan.

Beberapa pengundi dilaporkan berjaya menghilangkan dakwat kekal dijari mereka yang bertujuan untuk mengelakkan pengundian berulang selepas mengundi, dengan hanya menggunakan sabun dan air.

“Saya tidak bimbang dengan dakwat kekal boleh dibasuh hari ini kerana esok anda tidak boleh mengundi,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar kepada pemberita di pusat mengundi SMK Bukit Bandaraya, Bangsar di sini hari ini.

“Bagaimana dia boleh mengundi tanpa MyKad atau nombor IC? Satu nama hanya ditulis sekali,” tambah beliau.

Apabila ditanya tentang kualiti dakwat kekal, dakwat untuk mencegah penipuan, Wan Ahmad berkata: “Pembekal menghantar kualiti yang macam mana, kita tidak tahu.”

Apabila dibangkitkan tentang SPR mempunyai satu tahun untuk memilih dakwat berkualiti, Wan Ahmad mengatakan ia merupakan proses yang “rumit.”

Seorang ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Lee menujukkan jari yang sudah dibersihkan kepada pemberita di sini, ditanda dengan dakwat kekal selepas mengundi di Bukit Gasing di Petaling Jaya.

“Saya tidak fikir dakwat ini kekal. Saya gunakan sabun pencuci dari dapur. Salah satu dari jenama murah,” kata Lee dan menambah beliau datang ke sini untuk berjumpa kawan.

Pilihan Raya 2013 yang dikatakan paling sengit dalam sejarah negara, dicemarkan dengan laporan dakwat kekal boleh dihilangkan mudah, pembelian undi dan pengundi hantu.

Wan Ahmad walau bagaimanapun, menafikan laporan terdapat pengundi hantu dalam pilihan raya umum dengan mengatakan”Semua orang boleh membuat laporan. Saya bertemu orang ramai memberitahu, jangan percaya kepada laporan mereka.”

Beliau menegaskan warga asing yang tidak mempunyai MyKad dan dokumen berkaitan, tidak boleh mengundi.

Lebih 200 pengundi sudah beratur di sini di pusat pengundian SMK Bukit Bandaraya sebelum dibuka pada 8 pagi, dengan sesetengahnya mengatakan telah menunggu sehingga dua jam untuk membuang undi.

Tiada ulasan: