Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan melayan gesaan parti pembangkang untuk berdebat mengenai proses pilihan raya umum ke-13 yang lepas.
  
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata ini kerana tiada keperluan untuk berdebat memandangkan mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya boleh memfailkan petisyen.

"Sebenarnya kami tidak takut untuk berdebat dengan sesiapa kerana kami melaksanakan kerja bersandarkan pada undang-undang dan peraturan tetapi untuk apa SPR perlu bagi publisiti murahan kepada mereka?

"Jika tidak puas hati failkan petisyen pilihan raya melalui saluran yang sahih, bukan dengan ke medan debat atau ke jalanan...SPR punya segala bukti tetapi kami perlu menghormati tempoh 21 hari petisyen," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
  
Beliau berkata debat juga akan menyebabkan subjudis berlaku kerana pihak masing-masing tentunya akan berdebat perkara yang terkandung dalam hujah-hujah petisyen pilihan raya.
  
"Pembangkang hendak sangat tunjukkan pada penyokong mereka kononnya mereka menang debat...dia berdebat nak cari publisiti, nak hujahkan perkara yang dia duk debat di jalan raya tu, walhal sekarang ini waktu petisyen pilihan raya, kita kena hormat undang-undang," katanya.- Bernama