Selasa, 28 Mei 2013

SPR sedia bersemuka elak prasangka

Wartawan Sinar Harian

Wan Ahmad Wan Omar
Wan Ahmad Wan Omar 
 
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pihak termasuk jawatankuasa #siasatPRU13 yang ingin membuat aduan atau mengemukakan bukti berkenaan dakwaan penyelewengan dalam PRU13.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan itu bertujuan mengelak persepsi buruk terhadap suruhanjaya itu yang kononnya gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Baguslah kalau ada bukti kukuh dengan laporan polis dan sebagainya. Saya sedia berjumpa mereka yang mempunyai bukti ini, mendengar masalah yang mungkin terjadi.

“Dengan cara ini (bersemuka) lebih elok, kita dapat elak prasangka buruk kerana SPR sememangnya ikhlas untuk laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas mengenai tindakan jawatankuasa #siasatPRU13 yang mengemukakan bukti laporan polis yang dibuat pada 9 Mei lalu berhubung kejadian ‘lampu padam’ di Parlimen Kulim Bandar Baharu,
Wan Ahmad berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi menyiasat perkara itu.

“Eloklah ada laporan polis biar polis siasat dan kita sentiasa bersedia untuk beri sebarang kerjasama dalam mengetahui keadaan sebenar. Kita ada 26,000 pusat mengundi dan ribuan petugas yang mungkin berlaku kecualian tidak dilaporkan di pihak petugas SPR sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenyataannya sebelum ini adalah berdasarkan laporan 24 jam yang diterima selepas hari pengundian.

“Sebarang kenyataan saya sebelum ini adalah berlandaskan laporan selepas hari pengundian berlaku, kita hubungi petugas kita, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan tiada laporan (lampu padam) diterima.

“Kalau bukan pada sumber ini, kepada siapa kita mahu percaya. Jadi bila ada laporan polis kita minta polis siasat,” katanya.

Semalam, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli meminta SPR menyiasat mengenai laporan polis yang didedahkan beliau dan menjelaskan mengenai berapakah jumlah Borang 10A yang dikeluarkan SPR pada pilihan raya yang lalu.

Menurut Wan Ahmad, setakat ini pihaknya tiada maklumat lengkap berapa jumlah Borang 10A itu dikeluarkan pada PRU13.

“Baguslah kalau sudah ada laporan polis, saya suka tindakan begini biar polis siasat dahulu, saya minta semua pihak bersabar.

“Saya belum terima berapa banyak telah dikeluarkan, kerana ketika ini SPR sedang sibuk menguruskan hal-hal teknikal yang lain termasuk perihal petisyen,” katanya.

Tiada ulasan: