Selasa, 7 Mei 2013

Selepas kalah PRU13, Anwar tiada masalah jika Kit Siang jadi Ketua Pembangkang

THE MALAYSIAN INIDER
 
 Semalam, DAP mencadangkan Anwar terus menjadi Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat. - Gambar fail KUALA LUMPURi — Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak keberatan sekiranya Penasihat DAP Lim Kit Siang menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen memandangkan parti tersebut mendapat bilangan kerusi paling banyak di Dewan Rakyat berbanding PKR dan PAS.

Dalam Pilihan Raya 2013, Pakatan Rakyat (PR) berjaya meningkatkan penguasaan kerusi di Parlimen ke 89 berbanding 82 pada 2008. DAP mendapat 38 kerusi, manakala PKR dan PAS masing-masing mendapat 30 dan 21 kerusi.

“Sekarang pun saya ada beritahu kepada DAP, saya tidak... tidak ada masalah sebenarnya kalau YB Lim Kit Siang jadi ketua pembangkang. Kelayakan dia, pengalaman dia, saya boleh tumpu kerja-kerja lain,” kata Anwar dipetik dari Sinar Harian Online.

“Setakat ini, DAP dan PAS masih berpendirian saya harus teruskan. Tapi akan dibincang lagi,” tambah beliau lagi.

Persoalan mengenai siapa yang bakal jadi ketua pembangkang timbul ekoran DAP mendapat kerusi Parlimen tertinggi berbanding parti PKR Anwar.

“Dulu pun bila kerusi DAP mengatasi PKR setelah beberapa lompatan berlaku, saya menawarkan diri untuk undur menyerahkan tapi kedua-dua parti DAP dan PAS minta saya meneruskan,” kata Anwar merujuk kepada beberapa anggota Parlimen PKR yang melompat parti dalam sesi lalu.

Semalam, DAP mencadangkan Anwar terus menjadi Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) di Parlimen selepas berakhir pilihan raya ke-13 semalam yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) sekali lagi berjaya memerintah kerajaan persekutuan.

Dalam sidang media di ibu pejabat DAP itu, Penasihat DAP Lim berkata cadangan itu dibuat bagi mengulangi pendirian mereka sebelum ini yang menyokong Anwar sebagai perdana menteri Malaysia jika menang pilihan raya.

“Sebelum ini, Pakatan Rakyat sudah menyatakan pendirian untuk melantik beliau sebagai perdana menteri jika memenangi pilihan raya umum.

“Tapi perkara tersebut tidak berlaku, oleh sedemikian keputusan mencadangkan Anwar sebagai ketua pembangkang adalah sama seperti komitmen yang lalu,” kata Lim.

Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 semalam berkata mereka tidak akan mengiktiraf kerajaan BN sehingga selesai laporan penipuan undi.

BN memenangi pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti yang lebih kecil, kehilangan tujuh kerusi parlimen kepada PR, selain gagal merampas Selangor dan Pulau Pinang, kedua-dua negeri yang paling kaya dan maju di Malaysia.

BN memenangi 133 kerusi Parlimen manakala PR pula memenangi 89 kerusi, ia juga menunjukkan penambahan ketara bilangan kerusi negeri daripada 197 pada 2008 kepada 230 selepas berakhir Pilihan Raya 2013.

Tiada ulasan: