Sabtu, 4 Mei 2013

Risik tentera ramal Pakatan menang, tawan 117 kerusi Parlimen

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Kajian Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia (Kor Risik ATM) menunjukkan Pakatan Rakyat (Pakatan) mampu memenangi 117 kerusi Parlimen dan sekaligus membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah 12 kerusi selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).

najib-cemas-fmt

Sementara Barisan Nasional (BN) puladalam kaji selidik yang disalurkan anggota Kor Risik ATM itu menunjukkan hanya mampu memenangi 105 kerusi sahaja.

Kajian yang turut diguna pakai oleh BN itu menunjukkan Pakatan selain berjaya mempertahankan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, juga berjaya memenangi semula Perak serta merampas Negeri Sembilan dan Terengganu.

Demikian menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu program ceramah di Seksyen 7 di sini malam tadi, dipetik dari blog kelab greenboc.

“Johor walaupun kita boleh memenangi kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen yang jauh lebih banyak, tetapi mengikut ‘survey’ itu belum boleh dapat tawan negeri, saya cakap betul ini.

“Melaka, kita boleh tambah kerusi Parlimen dan negeri (DUN), tetapi masih belum boleh tawan negeri.

“Pahang, kita boleh tambah kerusi tetapi kita masih belum boleh tawan lagi, menjadikan kita ada tujuh negeri dan Perlis katanya 50/50,” ujar Mustafa.

Menurut beliau, keputusan kaji selidik itu berdasarkan keadaan semasa sekiranya PRU 13 diadakan Selasa lalu.

Bagaimanapun tambah Mustafa, beliau juga dimaklumkan bahawa keputusan kaji selidik itu boleh berubah dalam masa beberapa hari sebelum menjelang hari mengundi Ahad ini.

“Apakah dia akan turun atau pun dia akan naik, trend pada waktu ini menunjukkan kita sedang naik, maknanya tidak mungkin kurang daripada 117 kerusi.

Najib cemas

“Ini yang mencemaskan (Perdana Menteri) Najib Razak, mencemaskan (Timbalan Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin dan yang paling cemas (bekas Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri,” katanya lagi.

Mustafa dalam ceramahnya turut menjelaskan, kaji selidik yang dikeluarkan Kor Risik ATM merupakan kajian paling dipercayai pemimpin BN berbanding dua lagi agensi kerajaan lain, Kemas dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia.

Untuk memenangi di peringkat persekutuan sekaligus menduduki Putrajaya, Pakatan perlu menang sekurang-kurangnya 112 daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Buat pertama kali, dalam PRU 12 pada 2008, BN dinafikan majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen apabila hanya mampu menang dengan majoriti 140 kerusi manakala Pakatan menang 82 kerusi.

Selain itu, kaji selidik terbaru Merdeka Centre mendapati rating Najib yang juga Pengerusi BN merosot tiga peratus berbanding tinjauan terakhirnya sebelum ini.

Kaji selidik yang dijalankan di kalangan para pengundi di Semenanjung antara 28 April hingga 2 Mei lalu juga meletakkan Pakatan mendahului BN dari segi parti pilihan untuk membentuk kerajaan.

Populariti Najib menurun sedikit daripada 64 peratus dalam kajiselidiknya yang dijalankan pada bulan Mac, kepada 61 peratus sekarang – beberapa hari sebelum hari pengundian Ahad ini.

Merdeka Centre berkata, angka itu mencerminkan penurunan faktor “feel good” yang sebelum ini dijana ketika pengagihan besar-besaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga bentuk sumbangan wang tunai yang lain.

Kebimbangan terhadap ekonomi mendahului senarai isu-isu yang pengundi mahu diperbincangkan iaitu pada 25 peratus. – Free Malaysia Today

Tiada ulasan: