THE MALAYSIAN INSIDER
KUALA LUMPUR—
Tidak semua parti Barisan Nasional (BN) gembira dengan pembahagian
jawatan Kabinet seperti PRS dari Sarawak yang telah menolak pelantikan
sementara SPDP tidak berpuas hati dengan kemenangan empat kerusi
Parlimen mereka tidak diberikan apa-apa ganjaran.
Beberapa ahli Parlimen kanan Umno Sabah juga
merungut mereka tidak diberikan peluang untuk pelantikan Kabinet
sementara terdapat juga penggubal undang-undang Umno yang menyelar
pemilihan P Waythamoorthy walaupun pernah cuba menggulingkan kerajaan
satu ketika dahulu.
Media melaporkan Datuk Joseph
Entulu Belaun tidak menerima pelantikannya sebagai Menteri Di Jabatan
Perdana Menteri dan Datuk Joseph Salang Gandum secara terbuka menolak
dilantik sebagai timbalan menteri sekali lagi.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Utusan Malaysia hari ini gabungan
itu telah menerima keengganan Salang untuk menerima jawatan timbalan
menteri itu.
Presiden PRS James Masing
mengatakan majoriti ahli majlis tertinggi parti itu bersetuju untuk
menolak tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengatakan
mereka merasa “dipinggirkan” dan “seharusnya dilayan dengan lebih baik”.
PRS mendapat enam kerusi
Parlimen dan SPDP empat membantu BN mendapat 133 kerusi Parlimen, lebih
baik daripada parti BN di Sabah, Sarawak dan semenanjung yang diberikan
ganjaran lebih baik.
MIC yang menang empat kerusi
mendapat dua jawatan menteri dan dua timbalan menteri sementara SUPP dan
PBRS mendapat jawatan menteri penuh walaupun hanya menang satu kerusi
Parlimen.
“PRS dan SPDP yang mempunyai kekuatan di pedalaman tidak dilayan dengan betul oleh kerajaan hari ini.
“Kawasan pedalaman di Sarawak
adalah ‘deposit tetap’ Barisan Nasional. Jika anda tidak mengambil
berat, orang lain akan datang dan menariknya keluar,” kata Masing
memberikan amaran dalam laporan Free Malaysia Today. Masing yang
mempengerusikan mesyuarat tergempar ahli majlis tertinggi mengatakan,
majoriti ahli PRS merasakan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri
tidak sesuai dengan PRS yang berasaskan kawasan pedalaman.
Portal berita itu juga memetik
timbalan setiausaha agung SPDP Paul Igai sebagai berkata,” Saya tidak
boleh menyalahkan ahli parti jika mereka marah, kerana sukar untuk
menerima keputusan perdana menteri.
“Mereka juga telah bertanya sama
ada ia adalah satu percubaan yang sengaja untuk tidak melibatkan kita
atau sama ada perdana menteri telah terlepas pandang,” katanya.
Terdapat rekod 13 menteri dari Malaysia Timur dalam kabinet Najib yang diumumkan Rabu lepas.
The Malaysian Insider difahamkan
ahli Parlimen kanan Umno tidak gembira mereka dipintas oleh ahli
Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menjadi menteri dalam
penggal keduanya sebagai ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Umno lain marah
dengan tindakan Najib melantik Waytamoorthy sebagai timbalan menteri
menegaskan, lelaki yang menjadikan dirinya sebagai pelarian itu selepas
perhimpunan Hindraf 2007 berkempen di peringkat antarabangsa menyelar
Malaysia kerana dikatakan memberikan layanan buruk kepada kaum India.
Mereka mengatakan pentadbiran
Najib seharusnya memberikan ganjaran kepada yang bekerja keras untuk
memenangkan gabungan itu daripada golongan tidak pernah menyumbang dan
menentang mereka satu masa dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan