THE MALAYSIAN INSIDER
GEORGE TOWN — Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Singapura turut pulang mengundi.
Salmah Shaik Kamat, 69, yang berasal dari Batu Uban di sini ditemui mengundi di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban.
“Saya tetap nak balik mengundi demi negara yang tercinta walaupun tinggal di negara orang. Hanya dengan satu undi, kita dah dapat melakukan sesuatu untuk masa depan anak-anak kita. “Malaysia dah beri banyak kepada keluarga saya,” katanya yang menetap di Woodlands lebih 40 tahun kepada Bernama.
Beliau berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan Malaysia dengan menonton TV dan membaca akhbar dan menasihati generasi muda agar mencintai negara sendiri.
Seorang pelajar ijazah kedoktoran dalam bidang muzik di King's College, London turut mengambil peluang untuk mengundi.
Adil Johan, 29, yang berada di Malaysia ekoran cuti semester sejak Disember tahun lepas merasa bertuah kerana berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi baharu.
“Saya tidak terlalu cemas, Alhamdulillah saya dapat lakukannya hari ini,” katanya dan menambah beliau rasa sangat teruja tentang masa depan negara ini.
Beliau mendaftar sebagai pemilih pada 2010. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan