Rabu, 22 Mei 2013

Polis minta perhimpunan pembangkang di Melaka tukar tarikh

SINAR HARIAN
 
MELAKA - Polis meminta penganjur perhimpunan pembangkang di Dataran Rakyat, Kampung Bukit Katil yang dijadual Jumaat ini supaya ditukar ke tarikh lain.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Salehhudin Abd Rahman berkata ini ekoran notis awal yang dikemukakan penganjur untuk mengadalan perhimpunan kurang daripada 10 hari dan tidak mematuhi Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Polis menerima notis pemberitahuan pada 17 Mei yang memaklumkan perhimpunan hendak diadakan pada Jumaat. Tempoh ini tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata pihak penganjur juga gagal mengemukakan surat kebenaran daripada tuan tanah bagi mengadakan perhimpunan.

Oleh itu orang ramai dinasihat agar tidak menyertai perhimpunan tersebut kerana mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 9, 10 dan 11 Akta Perhimpunan Aman 2012, katanya.

Sementara itu Salehhudin berkata pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan di hadapan bangunan Studhuys di Jalan Gereja malam tadi yang menuntut aktivis pelajar Adam Adli dibebaskan.

Beliau berkata pihak penganjur perhimpunan gagal mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Polis juga tidak menerima sebarang notis pemberitahuan berhubung penganjuran perhimpunan tersebut dan kita akan mengambil keterangan penganjur sebelum kertas siasatan lengkap diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: