SINAR HARIAN
JOHOR BAHRU - Polis Johor menyifatkan Perhimpunan Hitam anjuran parti
pembangkang yang dijadualkan di sini Rabu ini sebagai haram kerana tidak
menepati syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ketua Polis Johor DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, notis
awal yang diberikan pihak penganjur perhimpunan tersebut adalah kurang
daripada 10 hari, iaitu tempoh ditetapkan oleh akta itu.
Beliau berkata: "Sabtu lalu, memang ada wakil pihak penganjur datang ke
balai polis untuk memohon permit bagi mengadakan perhimpunan
tersebut...tapi jarak masa tersebut sudah tidak mematuhi syarat yang
ditetapkan".
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Promosi E-Alerts dan
CommAlerts (aplikasi telefon pintar) di sini beliau berkata, polis tidak
akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap penganjur dan peserta
jika mereka berdegil dan meneruskan perhimpunan itu dijadualkan di
Dataran Bandaraya.
Menurut beliau, orang ramai membantah perhimpunan tersebut kerana
khuatir tentang keselamatan mereka selain inginkan sebuah negara yang
aman dan damai.
"Sejak berita mengenai penganjuran perhimpunan itu tersebar, polis
menerima banyak aduan serta laporan daripada orang awam yang membantah
perhimpunan itu," katanya.
Mengenai E-Alerts, Mokhtar berkata ia merupakan aplikasi pertama yang
hanya dimiliki oleh Polis Johor dan mempunyai direktori secara online
yang diwujudkan bertujuan menerima dan menghantar maklumat yang akan
dipaparkan di laman web www.polisjohor.gov.my.
"E-Alerts kini menjadi satu medium perantaraan polis dengan masyarakat
secara interaktif bagi membuka ruang penyaluran maklumat dan menjadi
interaksi komunikasi khusus yang lebih berkesan," kata beliau.
Ia merupakan yang kedua diperkenalkan oleh Polis Johor selepas
'Community Alerts', aplikasi sistem bantuan kecemasan yang berfungsi
untuk melaporkan sebarang kejadian termasuk jenayah dan kemalangan dalam
tempoh lima saat.
Selepas dua bulan pelancarannya, jumlah pengguna Community Alerts telah
mencapai sehingga 8,801 dengan 7,161 pengguna mendaftar melalui OS
Google Android manakala bakinya mendaftar dengan Apple IOS (iPhone,
iPad, iPod Touch). - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan