Oleh Arif Juhani
KUANTAN: Penyandang Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mempertikai
arahan Ketua Polis Daerah (OCPD) Kuantan, yang tidak membenarkan beliau
turut serta mengeluarkan kertas undi dan dakwat kekal yang diletakkan
dalam lokap pagi tadi, untuk diedar ke pusat pengundian.
Menurutnya, turut berada dalam lokap itu adalah peti undi awal.
Fuziah berkata, tindakan OCPD menghalang beliau daripada terlibat
dengan prosedur itu boleh menyebabkan peti undi awal berkenaan terdedah
kepada penyelewengan.
“Saya dapat maklumat ada cubaan untuk menukar peti undi awal ketika
lokap dibuka. Ini perkara serius dan boleh mengancam keselamatan negara.
“Nyawa manusia dalam lokap pun boleh melayang, apalagi peti undi awal
yang tidak boleh bersuara. Tindakan OCPD ini patut dikecam,” katanya
kepada Keadilan Daily.
Tambahnya, arahan OCPD ini juga jelas bertentangan dengan kenyataan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjamin peti undi awal
itu boleh dijaga oleh wakil calon sepanjang waktu bermula pengundian
awal 30 April lalu sehingga hari kertas undi dikira.
“Malangnya, arahan SPR itu tidak diendahkan apabila OCPD mengarahkan
pula wakil calon pulang. Ini satu tindakan yang mencurigakan daripada
anggota keselamatan.
“Sekarang saya pula tidak dibenarkan masuk dan saya tegaskan kepada
OCPD bahawa lokap tidak boleh dibuka tanpa saya walaupun pegawai SPR
sudah hadir.
“Tindakan OCPD ini buat saya hilang kepercayaan kepada institusi
Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata Naib Presiden KEADILAN di hadapan
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ketika dihubungi.
Beliau tidak menolak kemungkinan Umno BN terdesak untuk berkomplot dengan polis mencuri keputusan undi awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan