Isnin, 20 Mei 2013

Pesta himpunan rakyat tiada kaitan 'Malaysia Spring'

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Gabungan NGO yang menamakan kumpulan mereka sebagai Suara Rakyat 505 akan melancarkan Pesta Himpunan Rakyat besar-besaran di Padang Amcorp, Petaling Jaya, 25 Mei ini.

Jurucakap gabungan, Badrul Hisham Shaharin berkata, pesta tersebut bagi menuntut hak demokrasi dikembalikan kepada rakyat.

Dalam acara yang akan bermula pada sebelah petang hingga malam itu, saksi-saksi akan ditampilkan bagi mengemukakan bukti penipuan yang jelas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu.

"Himpunan bantah penipuan PRU13 ini berbentuk pesta rakyat, ramai wakil-wakil NGO yang akan bercakap dan bukti penipuana akan dikemukan secara audio visual," kata beliau pada sidang media gabungan tersebut di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) hari ini.

Beliau turut menolak sekerasnya dakwaan bahawa mereka akan menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan.

"Istilah Malaysian Spring atau menggulingkan kerajaan itu ialah perang saraf untuk menakut-nakutkan rakyat.

"Pesta rakyat ini tiada kena-mengena dengan menggulingkan kerajaan sebaliknya untuk mengembalikan demokrasi," katanya yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Gabungan tersebut terdiri daripada 48 NGO.

Tiada ulasan: